Laporan awal isu warga asing tanpa dokumen dijangka siap Julai depan

Laporan awal isu warga asing tanpa dokumen dijangka siap Julai depan

Putatan: Laporan awal Jawatankuasa Khas Pekerja Asing Tanpa Dokumen dan Warga Asing di Sabah dijangka siap Julai depan selepas selesai pertemuan dengan semua pihak berkepentingan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang mempengerusikan jawatankuasa itu, berkata beliau akan bertemu dengan pelbagai pihak berkaitan bagi melengkapkan laporan awal yang akan dibentangkan kepada Kabinet itu.

Beliau yakin tempoh tiga bulan yang ditetapkan untuk mengumpulkan cadangan dan input ke arah menyelesaikan isu warga asing tanpa dokumen di negeri ini adalah mencukupi.

“Saya jangka akan bertemu dengan pihak berkepentingan, orang perundangan untuk undang-undang apa yang perlu dilaksana dan perlu penguatkuasa untuk tahu apa masalah mereka.

“Saya juga akan jumpa majikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat untuk mendengar apa pandangan mereka selain bertemu dengan pemimpin politik dan mereka adalah sebahagian daripada penyelesaian masalah ini.

“Diharap dalam tempoh tiga bulan sesuatu perkara kita laksanakan dan selepas itu cari jalan penyelesaian,” katanya ketika ditanya media berhubung jangkaan beliau terhadap pembentukan jawatankuasa khas itu baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran inisiatif belia prihatin alam sekitar, We Be-Leaf Together (WBT) di Tabika Perpaduan Taman Jumbo, Petagas, di sini, hari ini.

Diminta mengulas lanjut, beliau bersetuju dengan saranan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berhubung pelaksanaan penguatkuasaan supaya pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar semula ke negara asal.

“Saya setuju kita kena kuatkuasakan undang-undang, itu yang pertama dan selebihnya kita kena selesaikan mengikut keperluan kita.

“Keperluan kita, sebelum ini tidak ada data lengkap mengenai pekerja dan penduduk asing yang ada di sini, kita perlu data mereka maka saya perlu bekerjasama dengan semua orang sebab ini masalah kita bersama bukan kerajaan saja. Masalah kepada orang asing juga sebab kita tidak mahu mereka jadi mangsa dieksploitasi,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak adil jika ada pihak mengatakan cadangan kad warga asing adalah sama seperti Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan kerajaan terdahulu.

“Setakat ini kita belum lagi ada yang kita tetapkan sebagai penyelesaian sebab itu kita lakukan ‘exercise’ ini dan tidak adil untuk katakan ia sama sebab kita belum ada penyelesaian.

“Kita rambang saja bercakap tetapi fokus saya mengenai pekerja asing,” katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi memaklumkan bahawa laporan awal dijangka dapat disiapkan pada Julai depan bagi membolehkan jalan penyelesaian dapat dilaksanakan berhubung warga asing di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|