Sabah FC sedia platform terbaik cungkil bakat muda bola sepak – Hajiji

Sabah FC sedia platform terbaik cungkil bakat muda bola sepak – Hajiji

Kota Kinabalu: Pasukan Sabah FC berada pada kedudukan terbaik untuk menyediakan platform mencungkil bakat muda bola sepak dan menggalakkan lebih ramai belia Sabah menceburi sukan berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata usaha mencungkil bakat muda bola sepak perlu dipergiatkan sejajar keyakinan bahawa seseorang pemain yang baik mesti bermula dari usia yang muda.

Hajiji melancarkan jersi baharu Sabah FC musim 2022.

Sehubungan itu, katanya beliau mahu melihat penekanan diberikan kepada pembangunan belia dalam sukan, khususnya bola sepak.

“Sabah FC berada dalam kedudukan terbaik untuk menyediakan platform ini dan memastikan pemain muda kita dilatih oleh jurulatih terbaik,” katanya pada pelancaran kit pasukan Sabah FC untuk musim baharu Liga Super, di Pusat Beli Belah Imago, di sini, hari ini.

Hajiji menemui barisan pemain Sabah FC.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Khairul Firdaus Akbar; Pengarah Sabah FC, Datuk Dr Jelani Hamdan dan Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Hajiji juga menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan Sabah FC melakar kejayaan di bawah kepimpinan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bersama pasukan pengurusannya.

Jelasnya, beliau percaya dengan adanya komitmen dan kerja keras, selain formula yang betul, Sabah FC dapat bangkit sekali lagi dan melonjak ke
tahap yang baharu.

Beliau turut menyifatkan pertandingan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ Cup) yang julung kali diadakan di Stadium Likas pada 12 hingga 18 Februari lalu membabitkan penyertaan Kedah Darul Aman (KDA) FC, TRW Kelantan FC, Sarawak United FC dan Sabah FC selaku pasukan tuan rumah sebagai satu inisiatif yang baik.

Selain membantu persiapan Sabah FC menghadapi musim baharu, katanya kejohanan itu juga memberi peluang kepada peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan perlawanan berkualiti serta membolehkan pemain meningkatkan kemahiran.

Hajiji turut memberikan kata semangat kepada semua pemain Sabah FC musim ini, selain menggesa mereka supaya sentiasa mengekalkan komitmen dan profesionalisme yang tinggi sepanjang bersama pasukan.

“Anda mesti mempunyai disiplin yang baik, sentiasa melindungi reputasi pasukan dengan tahap profesionalisme yang tinggi. Dengan berbuat demikian, anda bukan sahaja akan menjadi contoh kepada pemain yang lebih muda dan akan datang tetapi meletakkan anda pada kedudukan yang lebih baik (dalam kerjaya anda),” katanya.

Bagi musim 2022 ini, Sabah FC di bawah kendalian Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee menampilkan pemain import asing dari Brazil, Jepun, Korea Selatan dan Indonesia selain turut dibarisi empat pemain kebangsaan iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Dominic Tan, Mohd Rizal Mohd Ghazali dan Baddrol Bakhtiar serta tiga bekas pemain Harimau Malaya, Amri Yahyah, Irfan Fazail dan Nazirul Naim Che Hashim.

Sementara itu, Hajiji berkata Sabah pernah menjadi antara pasukan bola sepak elit negara yang melahirkan ramai bintang seperti Datuk James Wong, Datuk Hasan Sani, Matlan Marjan dan Datuk Peter Rajah.

“Justeru, saya ingin melihat Sabah kembali menjadi pasukan hebat yang amat digeruni dan dihormati bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di rantau ini,” katanya.

Pada pelancaran kit pasukan baharu Sabah FC, Hajiji menyatakan kegembiraannya apabila mengetahui jersi pasukan kali ini digabungkan dengan elemen tempatan seperti Linangkit dan kontur Gunung Kinabalu yang disifatkan sebagai cara menarik untuk menjana pendapatan melalui penjenamaan pasukan.

Sabah FC menamakan jersi perlawanan di tempat sendiri sebagai ‘My Skin’, manakala ‘Dua Belas’ ialah nama jersi tempat lawan yang ditaja oleh Lotto untuk tahun kedua berturut-turut.

Hajiji turut berterima kasih kepada redONE kerana hadir sebagai antara penaja utama tahun ini, selain Sawit Kinabalu, SabahNet, Al-Ikhsan dan Qhazanah Sabah Berhad.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|