Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KPMKR) hari ini melancarkan program pendigitalan dalam usaha meningkatkan sistem penyampaian kementerian.
Menterinya, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata pelaksanaan program itu selaras dengan komitmen kementerian untuk meningkatkan prestasi dan kelancaran perkhidmatan kepada golongan sasar.
“Ia juga adalah satu usaha ke arah mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan serta memastikan keberkesanan dalam usaha kita menunaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KPMKR 2021, di sini, hari ini.
Hadir sama dua Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraaan Rakyat, Datuk Julita Majungki dan Flovia Ng.
Sementara itu, Shahelmey berkata kementeriannya melaksanakan empat program ‘flagship’ di bawah Pelan Pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi mencakupi semua kumpulan sasar KPMKR pada tahun ini.
Empat program berkenaan katanya ialah Homeward untuk penjagaan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan golongan menerlukan rawatan, diikuti program Outreach Santuni Wanita yang disasarkan untuk golongan wanita, Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) yang menyediakan pusat didikan untuk kanak-kanak luar bandar dan pedalaman serta program Sosial Time Banking untuk golongan sukarelwan kebajikan.
“PPKK menyediakan pusat didikan untuk kanak-kanak berumur di bawah tujuh tahun yang tinggal jauh di pedalaman dan tiada tadika atau pusat didikan.
“Ia adalah satu usaha yang melibatkan kanak-kanak di luar bandar agar mereka mendapat pendidikan awal yang sama seperti dinikmati kanak-kanak di bandar,” katanya.
Setakat ini, katanya sebanyak 34 PPKK yang membabitkan seramai 1,162 kanak-kanak diwujudkan di luar bandar dan pedalaman, manakala dua lagi PPKK dirancang diwujudkan pada tahun ini.
Jelasnya, bagi Sosial Time Banking, program berkenaan disasarkan kepada sukarelawan kebajikan bertujuan menggalakkan mereka memberi tumpuan dan meluangkan lebih banyak masa untuk melaksanakan kerja kebajikan.
“Menerusi program ini, sukarelawan akan mendapat imbuhan atas kerja sukarelawan yang mereka laksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Shahelmey turut mengingatkan usaha memerangi pandemik Covid-19 masih lagi dilaksanakan walaupun ketika ini negara sudah berada dalam fasa peralihan ke endemik.
Katanya, usaha memerangi pandemik berkenaan belum berakhir, malah rakyat terus diingatkan supaya meneruskan pemakaian pelitup muka di tempat tertentu, menjaga kesihatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang masih dikuatkuasakan.
“Pihak kementerian melalui Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) juga sedang menyediakan buku Pandemik Covid-19: Impak dan Norma Baharu di Sabah yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.
Mengulas mengenai Majlis APC KPMKR, Shahelmey berkata ia adalah satu bentuk penghargaan kepada warga kementerian atas pencapaian cemerlang dan komitmen mereka dalam melaksanakan tugas.
Beliau turut menasihatkan agar setiap kakitangan mengutamakan disiplin diri menerusi pembangunan peribadi bagi melahirkan pekerja yang telus dan berintegriti dalam melaksanakan sistem penyampaian kerajaan.
-Deasoka