Penyeragaman harga kenderaan terpakai untuk bantu rakyat

Kota Kinabalu: Penyeragaman harga kenderaan terpakai di Sabah dan Semenanjung dilihat penting sebagai inisiatif membantu rakyat di negeri ini memiliki kenderaan sendiri.

Pendekatan itu diambil syarikat penjualan kereta terpakai dalam talian, ONCAR.MY yang secara rasmi membuka cawangan di Sabah.

Phoong merasmikan cawangan syarikat penjual kereta terpakai secara dalam talian ONCAR.MY di Kota Kinabalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe berkata, kebiasaannya harga kereta yang dijual di Sabah sama ada baharu atau terpakai lebih mahal berbanding di Semenanjung.

Oleh itu katanya, penyeragaman yang dibuat syarikat terbabit amat disambut baik dan diharap membantu lebih ramai orang untuk memiliki kenderaan sendiri.

“Saya berpendapat ia suatu langkah yang perlu disokong kerana penyeragaman harga membolehkan rakyat di negeri ini mendapat tawaran harga kereta terpakai sama seperti harga di Semenanjung.

“Ini adalah salah satu usaha yang baik kerana kita semua tahu ramai penduduk di negeri ini terpaksa untuk memiliki kereta dengan harga yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan ONCAR.MY, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengurus Besar ONCAR Sdn Bhd, Kevin Neon.

Phoong berkata, beliau juga berharap, menerusi penyeragaman itu, ia dapat membantu lebih ramai individu atau keluarga di Sabah mampu memiliki kenderaan sendiri.

Sementara itu, Kevin menyatakan, menerusi pembukaan cawangan ONCAR.MY di Sabah ia mampu mengurangkan kos-kos tertentu sekali gus membantu pelanggan memperoleh kenderaan pada harga lebih murah.

Katanya, sebelum ini, mereka beroperasi di Semenanjung dan hanya sekadar menjual kereta kepada pengedar di Sabah.

“Namun menyedari keadaan ekonomi yang kurang baik dan harga akhir terlalu tinggi ekoran terdapat banyak lapisan perniagaan, kita mengambil inisiatif membuka cawangan di sini.

“Malah kita juga menawarkan pembeli kenderaan di sini dengan jaminan selama setahun pada harga mampu milik dan berpatutan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|