KKR beri keutamaan kontraktor tempatan kendali projek di Sabah

Kota Kinabalu: Kementerian Kerja Raya (KKR) secara prinsipnya sentiasa memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan untuk mengendalikan projek di Sabah.

Bagaimanapun, Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kontraktor tempatan juga harus mempunyai kelayakan dan boleh bersaing dengan yang lain.

“Bagi projek-projek dari kerajaan memang dasar kita adalah untuk mengalakkan dan memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan.

“Sebagai contoh dalam projek lebuh raya Pan Borneo Sabah Fasa 1 A ini kita berikan kepada kontraktor tempatan dan juga itulah dasar yang ingin kita kekalkan untuk Fasa 1 B iaitu 19 pakej yang baki ini.

“Jadi kita boleh bantu untuk beri keutamaan tetapi pada masa yang sama kontraktor tempatan juga perlu menunjukkan bahawa mereka layak untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut dari segi kemahiran, tenaga kerja dan juga keupayaan dari segi kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pendaftaran Kontraktor dan Majlis Penyampaian Anugerah Kontraktor dan Pengilang, di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, jika kontraktor tempatan tidak mempunyai semua yang diperlukan ia akan mendatangkan masalah kepada banyak pihak.

“Sebab akhirnya infrastruktur ini untuk kebaikan rakyat, jadi sekiranya kita mengutamakan kontrakrtor tempatan tetapi tidak layak dan tidak berupaya maka itu akan menimbulkan masalah yang begitu besar kepada semua.

“Jadi syarat dia kontraktor itu adalah mesti layak dan boleh bersaing dengan yang lain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|