Industri minyak dan gas terus jadi penyumbang penting ekonomi Sabah

Kota Kinabalu: Industri minyak dan gas terus menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi Sabah menerusi pembabitan aktif kerajaan negeri dalam sektor industri berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata pembabitan kerajaan negeri diwakili agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC), Sabah International Petroleum (SIP), Sabah Energy Corporation (SEC) dan yang terbaharu SMJ Petroleum Sdn Bhd.

Dr Joachim (tengah) menyaksikan pertukaran MoU sempena Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Sabah (SOGCE) Kesembilan di Kota Kinabalu.

Katanya, Sabah melakar beberapa pencapaian penting dalam industri minyak dan gas sejak beberapa bulan lalu termasuk pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) di antara kerajaan negeri dengan PETRONAS.

Jelasnya, CCA menyediakan landasan yang membolehkan PETRONAS berkongsi aspirasi kerajaan negeri dan rakyat Sabah dalam melaksanakan pembangunan industri minyak dan gas di negeri ini.

“Ini diikuti pelancaran Pelan Induk Gas Sabah yang menyaksikan peruntukan gas asli untuk menghasilkan gas asli cecair (LNG), sebagai bahan api industri dan menjana tenaga.

“Ketika ulang tahun pertama Pelan Pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) pada 29 Mac lalu, beberapa perjanjian yang merangkumi Perjanjian Kerjasama Bersama (JCA), memorandum persefahaman (MoU) dan Perjanjian Pajakan ditandatangani di antara pelbagai syarikat dan SOGDC yang diberi tanggungjawab membangunkan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

“Dijangkakan pelaburan syarikat terbabit yang dianggarkan lebih RM20 bilion, apabila dilaksanakan, bakal membawa limpahan ekonomi yang besar bukan saja kepada komuniti di Sipitang, malah daerah berhampiran seperti Beaufort, Papar dan Tenom,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Sabah (SOGCE) Kesembilan, di sini, hari ini.

Dr Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri berkata, kerajaan negeri juga akan terus memastikan Sabah akan kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik di rantau ini, khususnya yang berkaitan industri minyak dan gas.

Sementara itu, katanya kertas kerja yang dibentangkan pada persidangan SOGCE kali ini kebanyakannya berkaitan isu yang ada kesan signifikan ke atas pembangunan sosio ekonomi Sabah dan rakyatnya secara umum.

Antaranya, beliau berkata berkaitan kepentingan pembangunan sumber manusia, selain kepentingan menjaga alam sekitar dan mengambil berat perubahan iklim.

“Ada keperluan untuk menilai semula bakat tempatan sedia ada dan memperbaiki mereka bagi memenuhi keperluan industri minyak dan gas, pembuatan dan pembinaan.

“Persidangan ini juga membincangkan mengenai tenaga boleh diperbaharui, cabaran dan peluang dalam peralihan tenaga, sumber tenaga lain sedia ada untuk diterokai bagi memberi manfaat kepada generasi masa depan kita,” katanya.

Dr Joachim turut berharap agar SOGCE yang menjadi pusat sehenti kepada pakar teknologi dan industri minyak dan gas dapat membantu kerajaan negeri melaksanakan Pelan Pembangunan SMJ.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|