JPKA Sandakan cari waris kanak-kanak

Sandakan: Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sandakan sedang mengesan waris atau ahli keluarga seorang kanak-kanak lelaki yang diserahkan ibu kandungnya kepada seorang lelaki pada April 2008.

Pegawai Pembangunan Masyarakat Pejabat Kebajikan Bahagian Sandakan, Rodin Suri Arif berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengesan keluarga atau waris kanak-kanak terbabit yang bernama Shazrayyan Haiqal berumur 14 tahun tujuh bulan, yang dipercayai menjadi mangsa pengabaian.

“Menurut keterangan lelaki itu yang menjadi penjaga kanak-kanak berkenaan, seorang wanita yang dikenali sebagai Norsiah Hiya (ibu kandung kanak-kanak terbabit) telah menyerahkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan pada 9 April 2008 di sebuah rumah di perumahan Pasir Putih, Taman Melanta Blok G Lot 61, Sandakan.

“Ibu kandung kanak-kanak terbabit ketika itu juga turut meninggalkan pakaian bayi, kad kesihatan anak dan surat daftar kelahiran,” katanya.

Beliau berkata, menurut pengadu terbabit ibu kandung kanak-kanak berkenaan akan mengambilnya semula namun sehingga kini tidak kembali atau menghubungi pengadu.

“Pelindung meminta waris tampil membantu siasatan bagi memudahkan segala urusan berkaitan kanak-kanak ini. Kes ini sedang diambil tindakan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung waris atau ahli keluarga kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi Pelindung Bahagian Sandakan, Nurhafiza Abdul Rahman di talian 089-668494 atau 089-667821 (pejabat) untuk tindakan lanjut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|