Guru tidak perlu jalan kaki lagi ke SK Pangaraan, Nabawan

Kota Kinabalu: Guru dari beberapa sekolah di kawasan pedalaman di Nabawan kini suda tidak perlu berjalan kaki untuk ke sekolah selepas jalan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pangaraan dijangka siap sepenuh sebelum hujung minggu ini.

Jalan sejauh 45 kilometer itu rosak akibat banjir pada Mac lalu dan akan dibuka semula sebelum sesi persekolahan bermula Isnin depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup memberi jaminan bahawa jalan sejauh 45 kilometer itu akan siap sepenuhnya sebelum hujung minggu ini.

“Semalam saya sudah mendapat laporan daripada Pejabat Daerah dan hanya tinggal dalam dua atau tiga kilometer lagi akan siap sebelum jalan itu dibuka untuk sampai dari Keningau menuju ke SK Pangaraan.

“Jadi hujung minggu ini (Ahad) saya akan ikut masuk sekali ke kawasan itu untuk meninjau sendiri bagi melihat perkembangan kerja-kerja pembaikan jalan berkenaan.

“Saya juga akan membantu pihak sekolah dengan membawa bekalan asas berikutan sekolah akan dibuka pada minggu depan,” katanya selepas merasmikan Seminar Pendaftaran Kontraktor dan Majlis Penyampaian Anugerah Kontraktor dan Pengilang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas diminta mengulas perkembangan jalan masuk dari Keningau menuju ke SK Pangaraan susulan sesi persekolahan yang akan bermula minggu depan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, kerja membaiki infrastruktur yang rosak akibat banjir sudah dilaksanakan sebelum video murid menyeberangi sungai menggunakan ‘zip line’ tular di media sosial.

“Kerja untuk membantu memperbaiki infrastruktur sebenarnya sudah berlaku sejak sebelum video itu tular dan atas keprihatinan saya sebagai wakil rakyat apabila sesi persekolahan dibuka pada cuti sekolah yang lalu, saya telah menyewa dua helikopter untuk membawa lapan guru dari Keningau untuk sampai ke kampung itu untuk mengajar.

“Sebagai perkembangan terkini saya juga umumkan sebelum video itu tular bahawa saya sudah mendapatkan kelulusan khas daripada Perdana Menteri untuk membaiki jalan dan juga lima jambatan yang telah putus.

“Bayangkan lima jambatan putus, begitu luar biasa banjir yang berlaku ketika itu. Jadi semua kerja pembaikan sedang dalam pelaksanaan,” katanya.

Sebelum itu, murid terpaksa bergadai nyawa menyeberang sungai menggunakan zip line atau rakit untuk ke sekolah selepas jambatan terputus akibat banjir.

Selain itu, laluan masuk ke kampung berkenaan juga rosak dan menyebabkan guru-guru terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke sekolah berikutan keadaan jalan yang tidak boleh dilalui oleh kenderaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|