Program Hijrah Cinta 3.0 dapat sambutan meriah muslimah Sabah

Program Hijrah Cinta 3.0 dapat sambutan meriah muslimah Sabah

Kota Kinabalu: Program berkonsepkan ilmuan agama, Hijrah Cinta 3.0 yang julung kali diadakan di Sabah telah dihadiri lebih 2,000 peserta dari seluruh negeri ini.

Timbalan Presiden Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN), Noor Razlina Noor Mohamed berkata, ia juga merupakan kali pertama program tersebut dianjurkan secara terbuka kepada masyarakat umum.

Noor Razlina ditemui pada Majlis Hijrah Cinta 3.0 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu. Kredit foto: Mohd Adam Arinin

Menurut beliau, sebelum ini, program Hijrah Cinta edisi pertama dan kedua telah diadakan di Semenanjung dengan hanya tertumpu kepada rakan selebriti serta kenalan terdekat.

“Sebab utama kami memilih Sabah adalah kerana kami menerima permintaan tinggi daripada muslimat di negeri ini. Alhamdullilah, program ini berjaya mendapat sambutan luar biasa.

“Pada permulaan, kami hanya menyasarkan penyertaan seramai 2,000 peserta namun kami buat secara walk-in seramai 100 orang, bermakna semuanya ada 2,100 orang peserta.

“Jadi pada program kali ini untuk edisi ketiga kita laksanakan secara terbuka untuk umum dan kita juga telah menjemput penceramah iaitu Ustazah Dr Oki Setiana Dewi dan Usatzah Asni Mansor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hijrah Cinta 3.0 yang diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC), baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, program ini merupakan pengenalan majlis ilmu berbentuk Tausiyah kepada umum dan ianya dikhususkan kepada golongan wanita sahaja.

Jelasnya, program itu turut menampilkan persembahan daripada artis jemputan selain diiringi dengan Qasidah daripada kumpulan Rahmatul Ihsan.

“Program ini memberi peluang kepada setiap peserta yang hadir mendapatkan ilmu daripada setiap panelis jemputan dimana setiap topik pengisian adalah bersesuaian dengan isu-isu semasa yang dekat dengan masyarakat.

“Sudah tentu harapan kita adalah agar setiap peserta yang hadir dapat merasai kenikmatan nurani mengikuti majlis ilmu.

“Semoga setiap pengisian dapat dimanfaatkan untuk diri sendiri dan berkongsi ilmu kepada rakan lain,” katanya lagi.

Tambah Noor Razlina, pihaknya turut merancang untuk meneruskan program ini ke negeri-negeri lain pada masa akan datang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|