Ranau: Seorang wanita diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami ‘Acute Mountain Sickness’ (AMS) ketika mendaki gunung, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, wanita warga Singapura berusia 30-an terbabit dilaporkan mengalami masalah kesukaran untuk bernafas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.43 malam.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan empat anggota dan pegawai termasuk MOSAR serta Malim Gunung dan anggota Taman-Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi mangsa, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.
“Mangsa diberi rawatan awal oleh Park SAR di Bilik Rawatan Awal (Sick Bay) Panarlaban dengan bantuan pernafasan oksigen sehingga keadaan mangsa beransur pulih,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar semula ke bilik penginapan dengan diiringi oleh pasukan Mosar dan Malim Gunung.
Katanya, keadaan mangsa akan terus dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan sama ada wanita terbabit perlu mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1 pagi.
-Deasoka