PGRS landasan baharu bekas ahli dan pemimpin BERSATU?

PGRS landasan baharu bekas ahli dan pemimpin BERSATU?

Kota Kinabalu: Sebuah parti politik tempatan dikatakan bakal menjadi landasan baharu bekas ahli dan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah.

Spekulasi mengatakan parti terbabit dikenali sebagai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) atau GAGASAN yang ditubuhkan pada 2013 dan pernah bertanding ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada 2020.

Ketika ini, difahamkan rundingan sedang dilakukan di antara bekas pemimpin BERSATU dan PGRS, termasuk berkaitan urusan pengambilalihan di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Bagaimanapun, Presiden PGRS, Stephen Jimbangan dilaporkan berkata belum ada menghubungi beliau untuk berbincang mengenai perkara itu.

Beliau sebaliknya berkata spekulasi mengenai perkara itu mungkin timbul berdasarkan permohonan PGRS untuk menjadi parti komponen GRS.

Stephen berkata, secara kebetulan pihaknya diminta menghantar permohonan kepada GRS pada Jumaat lalu selepas borang yang dihantar pada awal bulan lalu dikatakan tercicir.

“Mungkin masa kita menghantar permohonan itu disalah tafsir oleh beberapa pihak yang menganggapnya sebagai bekas ahli BERSATU menyertai PGRS,” katanya seperti dilaporkan beberapa media, hari ini.

Namun, beliau tidak menolak jika bekas ahli dan pemimpin BERSATU Sabah mahu menyertai parti itu jika mereka membuat keputusan sedemkian.

Jelasnya, beliau juga tidak mempunyai masalah untuk berjumpa bekas pemimpin BERSATU jika mereka berminat, termasuk berbincang mengenai hasrat mengambil alih PGRS jika perkara itu dibuat demi kebaikan negeri dan rakyat Sabah.

“Namun, ahli majlis tertinggi PGRS perlu membuat pengesahan terhadap sebarang keputusan yang perlu dibuat,” katanya.

Sebelum ini, spekulasi juga timbul mengenai kemungkinan bekas pemimpin BERSATU menyertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang juga antara parti komponen GRS.

Selain USNO, GRS turut disertai Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Bagaimanapun, sebelum ini, Setiausaha Agung GRS yang juga bekas Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Masidi Manjun, menafikan spekulasi itu, sebaliknya menyatakan tumpuan mereka adalah keahlian terus dalam GRS.

Semalam, Hajiji mengetuai pemimpin dan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta empat Ahli Parlimen BERSATU Sabah keluar daripada parti itu dan bernaung secara kolektif di bawah GRS untuk sementara waktu sehingga ada parti baharu.

Keputusan itu katanya dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah selain mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

“Dengan keputusan ini, kami akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri Borneo di Malaysia. Kami yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|