Isteri sebak wakili arwah suami terima ijazah

Isteri sebak wakili arwah suami terima ijazah

Kota Kinabalu: Seorang isteri hanya mampu melafazkan perasaan bangga bercampur sedih apabila menerima anugerah ijazah sarjana secara anumerta mewakili arwah suaminya, pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-24.

Isteri, Shahidah Hj. Unding, 45, bersama ibu, Kalsum Abdullah Liew Lee Yun, 69, mewakili allahyarham Azizan Mohd Maruf yang meninggal dunia kerana menghidap penyakit talasemia pada 25 Januari lalu.

Allahyarham Azizan, seorang bekas penuntut program Keselamatan dan Kualiti Makanan di Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizebeth, Kota Kinabalu.

Bercerita mengenai punca awal sakit suaminya, Shahidah berkata, semenjak arwah suaminya bekerja dan menyambung pelajaran di peringkat sarjana, beliau mengalami stres yang tinggi.

Allahyarham yang bertugas sebagai pegawai penyelidik dalam Sains Pemakanan mula menunjukkan simptom sebelum disahkan menghidapi penyakit tersebut, selepas ditugaskan berpindah ke makmal semasa tempoh pengajian sarjananya.

“Doktor mengesahkan arwah suami menghidap anaemia (kekurangan sel darah merah) dan tidak sesuai dengan aktiviti makmal yang terdedah dengan persekitaran kimia.

“Walaupun menderita sakit, arwah masih bersemangat untuk belajar dan sering berjaga malam untuk menyiapkan tugasan.

“Arwah terlalu istimewa di mata saya. Dialah teman, imam malahan sebagai rakan sekerja, pegawai penyelidik yang baik dan berdedikasi kepada staf, tiada sifat negatif yang saya lihat padanya.

“Arwah suami merupakan seorang pekerja yang berkerja keras dan sanggup menyambung pengajian ijazah sarjana sambil bekerja walaupun sudah berkeluarga.

“Bagi saya, tidak ramai orang yang mempunyai semangat kuat seperti arwah,” katanya dalam nada sebak.

Menurut beliau, usia perkahwinan mereka yang mencecah 16 tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata berusia 8 tahun menjadi pembakat semangat buatnya dalam meneruskan kehidupan dan memberikan yang terbaik untuk diri dan anak mereka.

“Kehilangan arwah suami memberikan saya perasaan yang luar biasa seperti tidak bermakna untuk hidup tetapi harus diteruskan untuk melaksanakan tanggungjawab menjadi ibu yang terbaik kepada anak,” katanya.

Untuk rekod, penganugerahan anumerta merupakan penghargaan kepada graduan yang meninggal dunia dan berjaya menyelesaikan lebih 85 peratus pengajian mereka.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|