Penguasaan bahasa Inggeris perkasa kebolehpasaran graduan di peringkat global

Penguasaan bahasa Inggeris perkasa kebolehpasaran graduan di peringkat global

Kota Kinabalu: Tahap kebolehpasaran graduan mampu ditingkatkan ke peringkat global melalui penguasaan bahasa Inggeris.

Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Sri Azman Hashim berkata, tahap penguasaan terhadap bahasa pengantar antarabangsa itu kini menunjukkan penurunan yang ketara.

Menurut beliau, terdapat ramai graduan yang tidak berkebolehan untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris telah banyak menurun. Sebagai contoh, semasa temu duga kerja terdapat banyak graduan yang berprestasi rendah.

“Dalam persidangan antarabangsa juga menyaksikan beberapa pihak dari Thailand dan Indonesia pernah mengusulkan pertanyaan tersebut kepada kami.

“Graduan semasa temu duga kerja tidak boleh berkomunikasi, menerangkan, atau bercakap dengan betul menggunakan bahasa Inggeris.

“Kekurangan yang ada ini menyebabkan mereka kehilangan peluang pekerjaan,” katanya dalam ucapan pada Sidang 2, Majlis Konvokesyen UMS ke-24, semalam.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan graduan yang mempunyai penguasaan penuh dalam bahasa Inggeris sebagai graduan yang berpeluang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan.

“Pada setiap majlis graduasi, beribu graduan baharu yang diraikan. Graduan-graduan ini seterusnya akan membuat permohonan kerja pada mana-mana syarikat.

“Graduan yang menguasai bahasa Inggeris mempunyai peluang yang lebih luas kerana mereka tidak terhad di dalam Malaysia sahaja, tetapi juga di peringkat global.

“Graduan ini juga akan lebih cenderung diambil untuk bekerja oleh syarikat-syarikat swasta yang mementingkan penggunaan bahasa Inggeris,” katanya.

Azman berkata, bahasa inggeris merupakan bahasa yang harus diajarkan kepada semua individu semenjak dari kecil lagi.

“Ia merupakan satu bahasa yang sangat indah dan patut dipelajari serta dikuasai oleh semua orang untuk kebaikan pada masa akan datang,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|