Graduan FPP UMS dinobat penerima Anugerah Pingat Emas Alumni

Graduan FPP UMS dinobat penerima Anugerah Pingat Emas Alumni

Kota Kinabalu: Seorang Graduan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Alumni pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kali Ke-24.

Penerima anugerah itu, Lua Pei Ling, 23, berjaya meraih purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.85 dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan kepujian (Psikologi Industri dan Organisasi).

Katanya, beliau amat berbesar hati menerima anugerah itu dan tidak menyangka mendapatnya kerana ramai pelajar yang lain lebih berbakat dan cemerlang sama sepertinya.

“Kunci kejayaan saya adalah saya seorang yang suka belajar benda baharu jika ada peluang saya akan ambil untuk mencuba yang terbaik,” katanya.

Beliau yang berasal dari Johor berkata, antara cabaran yang perlu ditempuh beliau adalah had masa, terutama sekali ketika tahun akhirnya sehingga terdetik rasa putus asa dan ingin menangguhkan pengajian.

Jelasnya, ini kerana beliau harus berbahagi masa dengan komitmen dalam Program Felo Perdana, YSEALI Academic Fellowship dan Higher Education Malaysia Association serta menyiapkan projek tahun akhir.

“Saya sangat bersyukur mendapat penyelia yang sentiasa membantu dan menyokong saya dalam menyiapkan projek tahun akhir,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkongsi bahawa hasratnya adalah untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana sekiranya ditawarkan biasiswa.

Terdahulu, Majlis Konvokesyen UMS kali ke-24 telah berlangsung bermula 10 hingga 12 Disember 2022 bertempat di Dewan Canselor UMS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|