Program derma darah IPD Penampang menggalakkan

Program derma darah IPD Penampang menggalakkan

Penampang: Program derma darah sempena sambutan Hari Polis ke-215 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang mencapai sasarannya apabila berjaya mengutip 50 pain darah, semalam.

Program berkenaan yang diadakan di pekarangan IPD Penampang berkenaan dijalankan dengan kerjasama Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKK).

Antara anggota yang menderma darah pada program derma darah sempena sambutan Hari Polis ke-215 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, program yang dijalankan itu adalah inisiatif IPD Penampang dalam usaha membantu meningkatkan jumlah bekalan darah agar mencukupi untuk kegunaan di hospital.

Katanya, tanggungjawab itu dilakukan atas kesedaran bagi menyelamatkan nyawa mereka yang benar-benar memerlukan bantuan. 

Haris menyampaikan sijil penghargaan kepada petugas kesihatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah sebagai tanda penghargaan.

“Hari ini, kita berjaya mengumpulkan sebanyak 50 beg darah sepanjang kempen derma darah berlangsung.

“Sesungguhnya setiap titisan darah yang kita derma mampu menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, Polis Daerah Penampang juga mengucapkan terima kasih atas pembabitan pasukan RELA Penampang, Majlis Daerah Penampang dan orang awam yang turut sama mengambil bahagian sebagai penderma.

“Program derma darah ini diharap dapat dilaksanakan secara berterusan bagi membantu pihak hospital mendapatkan bekalan darah,” katanya.

Sementara itu, dalam program berkenaan, Mohd Haris turut menyampaikan sijil penghargaan kepada petugas-petugas kesihatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah sebagai tanda penghargaan atas kerjasama sepanjang program ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|