KPDNHEP rampas 3,870 tan metrik minyak masak bersubsidi, industri

KPDNHEP rampas 3,870 tan metrik minyak masak bersubsidi, industri

Tawau: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya merampas sebanyak 3,870 tan metrik minyak masak dalam serbuan di sebuah kilang pembungkusan, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 6.40 petang itu, serbuan dijalankan terhadap kilang berkenaan selepas disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Tawau, Sam Aminudin

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Tawau, Sam Aminudin berkata, hasil pemeriksaan mendapati, premis berkenaan disyaki memiliki barang kawalan minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak munasabah terhadap kesalahan mengikut Peraturan 13 (1) PPKB 1974,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, pasukan penguatkuasa kemudiannya melakukan rampasan sebanyak 29.699 tan metrik minyak masak subsidi dan 3,848 tan metrik minyak masak industri.

Penguat kuasa KPDNHEP turut merampas dokumen daripada syarikat berkenaan.

“Turut disita beberapa dokumen daripada syarikat pembungkus berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM136,988 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media, yang dikeluarkan, hari ini.

Penguat kuasa KPDNHEP memeriksa lokasi serbuan di sebuah kilang pembungkusan di Tawau.

Menurutnya, KPDNHEP akan menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 ke atas pemilik premis.

“Jika sabit kesalahan, premis berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala, syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sam berkata, KPDNHEP memandang serius terhadap syarikat yang melanggar undang-undang seperti premis berkenaan.

Katanya, itu termasuk mereka yang diberikan lesen dan kuota pembungkusan serta pembotolan barang kawalan subsidi.

“Orang ramai disaran untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan memberikan sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|