PRU-15: GRS-BN setuju bekerjasama – Hajiji

PRU-15: GRS-BN setuju bekerjasama – Hajiji

Tawau: UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersetuju secara prinsipal untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beliau sudah bercakap dengan pemimpin UMNO Sabah mengenai perkara itu dan ia mendapat maklum balas yang positif.

Hajiji menerima borang permohonan keahlian baharu BERSATU daripada bekas ahli parti pembangkang di Tawau.

“Kita semua (GRS dan BN) bersetuju secara prinsipal bahawa kita mesti bekerjasama (pada PRU-15).

“Sekarang kita hanya perlu berbincang mengenai agihan kerusi,” katanya pada majlis makan malam bersama kepemimpinan BERSATU Tawau dan Kalabakan, di sini, malam ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS, berkata beliau yakin GRS-BN akan terus memberi keutamaan kepada kesejahteraan dan pembangunan rakyat serta negeri.

Beliau juga menasihatkan ahli parti supaya bersikap realistik memandangkan Sabah hanya mempunyai 25 kerusi yang perlu diagihkan secara sama rata.

Terdahulu, Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah menerima 1,150 borang permohonan keahlian baharu daripada bekas ahli parti pembangkang, termasuk 1,000 daripada Parti Warisan (WARISAN).

“Mereka membuat keputusan yang tepat kerana BERSATU Sabah adalah parti yang berjuang untuk semua rakyat di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|