JAKIM diminta beri penjelasan isu kebajikan guru KAFA di Sabah

JAKIM diminta beri penjelasan isu kebajikan guru KAFA di Sabah

Kota Kinabalu: Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi penjelasan secara bertulis berhubung isu pembayaran elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha mencari jalan sekiranya perkara itu yang tular baru-baru ini berlaku seperti yang didakwa.

“Saya akan minta pengarah JAKIM membuat penjelasan dan saya akan minta secara bertulis untuk mendapatkan maklumat yang terperinci dan sahih.

“Bagaimanapun, kita akan berusaha sekiranya berlaku, kita usaha untuk mencari jalan untuk mengatasi masalah ini,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis penutupan Pertandingan Pidato Kebangsaan Peringkat Sabah, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu yang tular di media sosial yang mendakwa guru KAFA di Sabah diminta membayar semula elaun belajar yang diterima pada tujuh tahun lalu selain turut didakwa mengatakan bahawa elaun guru berkenaan belum diterima.

Mohd Arifin dalam pada itu yakin bahawa pihak JAKIM dapat menyelesaikan masalah itu bagi memudahkan guru KAFA di negeri ini untuk terus berkhidmat.

“Kita cuba akan dapatkan maklumat dengan segera daripada JAKIM dan saya yakin JAKIM sedang menyelesaikan masalah ini bagi memudahkan guru Kafa kita,” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial berkaitan isu kebajikan guru Kafa di negeri ini di mana guru KAFA diminta membayar semula elaun belajar yang diterima enam atau tujuh lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|