Penyertaan ‘last minute’ bawa tuah johan pertandingan pidato

Penyertaan ‘last minute’ bawa tuah johan pertandingan pidato

Kota Kinabalu: Seorang pelajar Tingkatan Enam tidak menyangka penyertaan ke pertandingan pidato yang dilakukan pada saat akhir membawa tuah apabila dinobat sebagai johan Pertandingan Pidato Kebangsaan Peringkat Sabah, hari ini.

Siti Khadijah Kamarudin, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahim, Kudat, berkata, dia menyertai pertandingan itu pada saat akhir dan menghantar video berpidato pada hari terakhir penyertaan ditutup.

Siti Khadijah menunjukkan piala yang diterimanya selepas dinobat sebagai johan Pertandingan Pidato Kebangsaan Peringkat Sabah bagi kategori Tingkatan Enam di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.

“Saya masuk pertandingan ini ‘last minute’ dan hanya menghafal teks ucapan dalam tempoh satu jam sebelum video dihantar untuk penyertaan.

“Tetapi saya langsung tidak sangka berjaya ke peringkat akhir dan hari ini menyampaikan pidato secara bersemuka di hadapan penonton sebelum diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Tingkatan Enam,” katanya ketika ditemui pada pertandingan itu, di Menara Kinabalu, di sini.

Muhamad Yasin Nizamuddin menerima hadiah kemenangan pada Pertandingan Pidato Kebangsaan Peringkat Sabah di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.

Ditanya mengenai isi kandungan teks pidatonya itu, Siti Khadijah mendedahkan bahawa ia diciptanya sendiri dan mendapat fakta menerusi pembacaannya melalui berita arus perdana.

“Saya banyak membaca berita daripada akhbar seperti Berita Harian dan disebabkan tema yang dibawa adalah berkaitan dengan ‘Keluarga Malaysai Teguh Bersama’ saya cuba kaitkan dengan keadaan semasa yang begitu dekat di hati rakyat,” katanya.

Muhammad Yasin Nizamuddin johan dan pemidato terbaik menyampaikan persembahan pidato sempena Pertandingan Pidato Kebangsaan Peringkat Sabah di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.

Sementara itu, seorang lagi pemenang bagi kategori sekolah menengah, Muhammad Yasin Nizamuddin Roslan, 16, mengakui minat yang mendalam dalam bidang pidato dan syarahan membawanya ke peringkat akhir sebelum dinobatkan sebagai johan dan pemidato terbaik bagi pertandingan itu.

“Saya bergiat dalam bidang pidato ini sejak di sekolah rendah lagi dan saya juga mendapat tunjuk ajar daripada abang yang juga seorang pemidato.

“Saya tidak sangka percubaan kali ini membawa kepada kejayaan yang besar kepada saya apabila dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori sekolah menengah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|