Penanaman rumpai laut berskala besar di Pulau Sebatik – Hajiji

Penanaman rumpai laut berskala besar di Pulau Sebatik – Hajiji

Tawau: Kerajaan negeri sudah bersetuju secara prinsipal untuk mengembangkan lagi Zon Perindustrian Akuakultur (ZIA) yang bakal menyaksikan sebuah kawasan besar disediakan untuk penanaman rumpai laut di Burst-Point, perairan Sebatik, di sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata langkah itu dapat membantu menaik taraf kehidupan rakyat di kawasan ini.

Hajiji melawat pos kawalan PGA di Burst-Point, Pulau Sebatik.

“Ketika ini kira-kira 3,000 ekar sudah ditanam membabitkan seramai 57 usahawan.

“Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 314 tan metrik rumpai laut dengan jualan kasar RM2.4 juta berjaya dituai,” katanya ketika lawatannya ke sempadan Malaysia-Indonesia di Pulau Sebatik, di sini, hari ini.

Hajiji berbincang bersama Hamzah (kanan) dan Noor Alam (tengah) ketika lawatan ke sempadan Malaysia-Indonesia di Pulau Sebatik.

Hajiji diberi penerangan berhubung projek akuakultur rumpai laut itu oleh Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Azhar Kassim.

Tawau adalah pengeluar kedua terbesar rumpai laut di negeri ini selepas Semporna.

Turut bersama Hajiji pada lawatan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong; Peguam Besar negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof; Setiausaha Penyelidikan dan Hal Ehwal Dalaman Sabah, Datuk Awang Shahminan Awang Sahari dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur negeri, Datuk Bernard Liew.

Lawatan Hajiji turut disertai Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Deputi Komisioner Hamzah Ahmad; Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Hajiji turut melawat pos keselamatan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Burst-Point, Sungai Melayu dan Wallace Bay serta diberi taklimat mengenai isu keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|