JIM hantar pulang 750 PATI ke negara asal

JIM hantar pulang 750 PATI ke negara asal

Sandakan: Seramai 750 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina yang ditahan di Depot Imigresen di negeri ini dihantar pulang ke negara asal mereka, malam ini.

Semua PATI berusia satu hingga 88 tahun dihantar pulang menerusi feri dari Pelabuhan Sandakan.

Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud ketika ditemui media di Pelabuhan Sandakan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, semua PATI warga Filipina yang dihantar pulang ini adalah tahanan di Depot Imigresen Tawau, Sandakan, Papar dan Kota Kinabalu, sejak tahun 2020 lalu.

Katanya, tahanan yang diusir ini membabitkan 638 lelaki, 81 wanita dan 30 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah serta kanak-kanak berusia 23 bulan.

“Kanak-kanak yang terbabit dengan penghantaran pulang ini bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing,” katanya dalam sidang media di Pelabuhan Sandakan, di sini, malam ini.

Khairul Dzaimee berkata, dalam tahun ini sahaja, JIM Sabah mengusir seramai 1,519 PATI pelbagai warganegara di seluruh Sabah menerusi pengusiran udara, laut dan darat.

Katanya, bermula 1 Januari 2022 hingga 29 Ogos 2022 lalu, JIM Sabah berjaya merekodkan pengusiran sebanyak 67 kali.

“Dalam tempoh berkenaan, seramai 332 PATI diusir melalui udara, 1,186 melalui laut dan seorang mengunakan jalan darat.

“Proses pengusiran tahanan di semua Depot Imigresen di Sabah tertangguh sebelum ini berikutan negara-negara asal mereka sedang berhadapan dengan acaman pandemik Covid-19,” katanya.

Menurutnya, program pengusiran akan diteruskan dari semasa ke semasa dan ketika ini terdapat 6,200 tahanan di semua Depot di Sabah.

“Justeru itu, program pengusiran akan diteruskan sehingga semua tahanan berkenaan dihantar pulang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|