PRK DUN Bugaya dijangka serentak PRU-15 – WARISAN

PRK DUN Bugaya dijangka serentak PRU-15 – WARISAN

Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) menjangkakan Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangannya, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, berkata ia berikutan pembatalan proklamasi darurat Covid-19 bagi kawasan itu yang dikuatkuasakan sejak akhir 2020 oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Khamis lalu.

Beliau berkata, sebagai penyandang kerusi berkenaan sebelum kematian wakil rakyatnya, Manis Muka Mohd Dara pada 17 November 2020, WARISAN akan mempertahankan kerusi itu pada PRK itu nanti.

“Saya menjangkakan PRK DUN Bugaya akan diadakan serentak dengan PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja lagi.

“WARISAN sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi PRK Bugaya dan yakin akan menang. Soal calon kita serahkan kepada kepemimpinan parti untuk memilih,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Allahyarham Manis Muka memenangi kerusi DUN Bugaya atas tiket WARISAN dengan majoriti 6,005 undi menewaskan enam pencabar lain dalam pertandingan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September 2020.

Selain DUN Bugaya, Yang di-Pertuan Agong turut membatalkan proklamasi darurat Covid-19 bagi kawasan Parlimen Batu Sapi yang juga dikuatkuasakan bagi menangguhkan PRK dalam usaha mengekang penularan Covid-19 sejak akhir 2020.

Kerusi berkenaan kosong berikutan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Liew Vui Keong pada 1 Oktober 2020.

Vui Keong memenangi kerusi berkenaan atas tiket WARISAN dengan majoriti 4,619 undi dalam pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Berikutan PRU-15 yang sudah tidak lama lagi, tiada PRK diadakan bagi kawasan berkenaan.

Di Sabah, PRU-15 hanya membabitkan kerusi Parlimen memandangkan kerajaan negeri sudah memutuskan tidak akan membubarkan DUN Sabah berikutan tempoh sekarang masih panjang kerana PRN-16 baru diadakan pada September 2020.

Sementara itu, Awang Ahmad Sah menyifatkan Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lalu sebagi bajet ‘gula-gula’ untuk rakyat.

“Bajet tersebut tidak langsung menzahirkan peruntukan dan pembahagian sewajarnya diterima Sabah dan Sarawak seperti yang sepatutnya kita terima seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) lebih-lebih lagi Sabah merupakan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, WARISAN akan memberi penerangan kepada lebih ramai rakyat terutama di Sabah untuk memilih parti itu pada PRU-15 bagi memastikan kuasa politik dipegang parti tempatan seperti di Sarawak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|