Agong berkenan berangkat ke London esok

Agong berkenan berangkat ke London esok

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke London, United Kingdom (UK) bagi mengadakan Lawatan Khas bermula esok sehingga 16 Oktober depan.

Seri Paduka Baginda berdua, dalam rangka Lawatan Khas ini, dijadualkan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Charles III di Istana Buckingham, London pada 12 Oktober.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara, hari ini, keberangkatan Seri Paduka berdua melakukan kunjungan hormat ini mencerminkan keakraban Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan Raja Charles III.

Seri Paduka Baginda menjalin persahabatan dengan Raja Charles III sejak lebih empat dekad dan pernah bersukan polo berkuda bersama-sama ketika zaman remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.

Kunjungan hormat ini juga mencerminkan hubungan dua hala yang rapat di antara Malaysia dan UK sejak kemerdekaan Malaysia 65 tahun lalu.

Pada hari sama 12 Oktober, Seri Paduka Baginda berdua turut dijadualkan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Stesen Janakuasa Battersea, projek hartanah ikonik pelaburan negara di London.

Berkeluasan 16.99 hektar, Stesen Janakuasa Battersea adalah projek hartanah membabitkan usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sejak 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM51.53 bilion.

Seri Paduka Baginda berdua dijangka mengakhiri Lawatan Khas ini dan berangkat pulang ke tanah air pada 16 Oktober.

Terdahulu, dari segi hubungan dua hala, UK adalah rakan dagang ke-18 terbesar negara pada tahun lalu dengan jumlah dagangan direkodkan sebanyak RM17.17 bilion.

Nilai eksport negara ke UK, tahun lalu, juga direkodkan sebanyak RM9.78 bilion manakala nilai import dari UK sebanyak RM7.39 bilion.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|