Kanak-kanak ditemui lemas, 9 selamat selepas bot karam

Kanak-kanak ditemui lemas, 9 selamat selepas bot karam

Kota Belud: Seorang kanak-kanak lelaki ditemui lemas selepas bot dinaiki bersama keluarganya karam dalam kejadian di Kampung Rampaian Laut, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Muhammad Hayrul Suffyan Fian berusia setahun dilaporkan bersama sembilan individu sedang dalam perjalanan dari Pulau Mantanani menuju ke kampung berkenaan.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, bot berkenaan karam dan mangsa dilaporkan hilang sebelum ditemui meninggal dunia oleh penduduk kampung.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.22 petang.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud bersama kenderaan pacuan empat roda dan bot penyelamat terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Pusat Gerakan Operasi menerima laporan sebuah bot berkenaan membawa 10 orang penumpang membabitkan empat lelaki, tiga wanita dan tiga kanak-kanak.

“Sembilan mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang kanak-kanak ditemui tidak sedarkan diri oleh penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.15 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|