Hujan lebat, 20 lokasi di Kota Kinabalu, Penampang dilanda banjir kilat

Hujan lebat, 20 lokasi di Kota Kinabalu, Penampang dilanda banjir kilat

Kota Kinabalu: Hujan lebat sejak jam 2 petang tadi di sekitar daerah ini dan Penampang mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 lokasi dilanda banjir.

Antara lokasi yang dilaporkan banjir adalah Tebobon, Telipok, Indah Permai, Manggatal, Likas, Rugading, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Rampayan dan Kolombong.

Keadaan jalan raya di Salut dan Tebobon yang dinaiki air.

Manakala bagi daerah Penampang pula membabitkan lokasi bulatan Sigah, Kampung Kibabaig, Kampung Kolopis, Kinarut, Pavillion dan beberapa lagi kawasan sekitar.

Difahamkan, selain daripada hujan lebat, keadaan air laut pasang dan kegagalan sistem saliran serta perparitan turut menyumbang kepada kejadian banjir di beberapa lokasi.

Amaran Hujan Berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Sementara itu, sembilan individu membabitkan dua keluarga di Kampung Mansiang, Manggatal, di sini, terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air kira-kira jam 3 petang tadi.

Semua sembilan mangsa dilaporkan terperangkap di rumah masing-masing sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan.

Difahamkan, semua mangsa berjaya dibantu pasukan bomba untuk keluar ke tempat selamat

Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihak bomba akan terus menjalankan pemantauan terutamanya di lokasi yang dikenalpasti sebagai ‘hotspot’ banjir.

Katanya, hasil pemantauan petang tadi, beberapa kawasan di sekitar beberapa lokasi seperti Manggatal dan Penampang sudah dinaiki air yang menyebabkan beberapa jalanraya turut terjejas.

“Buat masa ini, selari dengan amaran waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), JBPM akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa.

“Selain itu, JBPM juga turut menumpukan kawasan banjir di daerah luar termasuk Kuala Penyu, Beaufort, Tambunan dan Keningau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Farhan berkata, daerah Penampang turut menjadi tumpuan sekiranya air dari kawasan hulu sungai di Tambunan meningkat ke paras bahaya.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, tiada Pusat Pemindahan Sementara dibuka dan orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mengambil tindakan terburu-buru.

“Penduduk yang berada di kawasan kerap dilanda banjir juga dinasihatkan supaya lebih peka dengan kenaikan paras air.

“Sekiranya berlaku kenaikan air secara mendadak, hubungi pasukan bomba dan bersedia untuk berpindah ke tempat yang lebih tinggi atau selamat terlebih dahulu sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|