Kapal tangki cuba seludup minyak petrol dan diesel ditahan

Kapal tangki cuba seludup minyak petrol dan diesel ditahan

Semporna: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) menggagalkan cubaan sebuah kapal tangki untuk menyeludup minyak petrol dan diesel di kawasan perairan Pulau Mantabuan, di sini, hari ini.

Kapal tangki yang membawa muatan 100,000 liter minyak petrol dan 9,600 liter minyak diesel ditahan anggota Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama Bot Viper 02 ketika melaksanakan pemantauan rutin di kawasan operasi maritim dari Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah, jam 4.05 pagi.

Kapal tangki yang cuba menyeludup minyak petrol dan diesel di perairan Pulau Mantabuan, Semporna.

Komander ATB 2 Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, ketika berada di perairan Utara Pulau Mantabuan, QRF melihat sebuah kapal tangki dalam keadaan mencurigakan sedang belayar menuju arah keluar perairan negara.

Katanya, QRF kemudian merapat dan membuat pemeriksaan awal terhadap kapal tangki berkenaan dan didapati kapal itu membawa tong-tong warna biru berisi diesel.

Tong biru berisi minyak diesel yang dirampas.

“Anggota QRF telah melaporkan penahanan kapal berkenaan kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) di MK ATB 2 dan seterusnya PIWB mengarahkan QRF membuat pemeriksaan terperinci.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal itu membawa minyak berkapasiti sebanyak 100,000 liter petrol di dalam tangki simpanan.

Sebanyak 100,000 liter petrol di dalam tangki simpanan di kapal berkenaan.

“Seterusnya sebanyak 48 tong berkapasiti 200 liter minyak diesel dengan jumlah sebanyak 9,600 liter,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dijalankan, terdapat enam lelaki berada di atas kapal berkenaan dan hanya tekong dan seorang kru yang mempunyai kad pengenalan.

“Manakala seorang mempunyai sijil lahir, seorang lagi memiliki pasport Filipina dan dua lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. Semua mereka berusia lingkungan 17 hingga 47 tahun.

“Tindakan seterusnya, anggota QRF bersama Viper 02 mengiringi kapal tangki ke Jeti Azumi dan semua dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan Covid-19,” katanya.

Katanya lagi, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan semua tangkapan diserahkan untuk tindakan lanjut pihak polis.

“IPD Semporna akan menguruskan penyerahan tahanan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna pada 11 Oktober 2022 manakala kapal dan barang rampasan ditempatkan sementara di Jeti Azumi menunggu KPDNHEP membuat siasatan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, kerjasama erat di antara Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bantuan dan khidmat nasihat pengurusan tangkapan oleh ESSCOM disamping komitmen oleh polis, Maritim Malaysia dan KPDNHEP berada ditahap yang terbaik dalam terus berusaha menjamin keselamatan dan kemakmuran perairan Pantai Timur Sabah akan terus terpelihara dengan sebaiknya.

Katanya, anggota tentera yang beroperasi turut diingatkan untuk sentiasa mempunyai tahap integriti terbaik demi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keupayaan operasi yang optimum bagi menangani sebarang cabaran serta ancaman keselamatan dari semasa ke semasan

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|