Kudat: Lebih 200 penghuni hilang tempat tinggal selepas kira-kira 43 rumah di Kampung Tanjung Kapur, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku pada 2.20 pagi itu.
Kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah di kawasan berkenaan sebelum merebak ke rumah lain.
Difahamkan, ketika kejadian kebanyakan penghuni sedang tidur dan gagal menyelamatkan harta benda masing-masing menyebabkan sebahagian besar penghuni tinggal sehelai sepinggang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.28 pagi.
Katanya, seramai 21 anggota termasuk pegawai bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dan Kota Marudu dikejarkan ke lokasi kebakaran.
“Kebakaran membabitkan 43 rumah jenis tidak kekal dengan keluasan 202 meter persegi terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan empat pancutan dari jentera bomba dan sumber air diperoleh dari pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi berjaya dikawal pada jam 4.21 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 6.43 pagi.
“Tiada kecederaan dan kematian mangsa dilaporkan dalam kebakaran ini.
“Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.
Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Air dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
-Deasoka