Bajet 2023: Sabah tidak terpinggir – Bung Moktar

Bajet 2023: Sabah tidak terpinggir – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Peruntukan yang disediakan kepada Sabah dalam Bajet 2023 membuktikan negeri ini tidak terpinggir daripada arus kemajuan perdana negara.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan bajet kali ini menyeluruh, inklusif dan memihak kepada rakyat khususnya untuk memulihkan ekonomi negara.

Katanya dalam Bajet 2023, Sabah memperolehi peruntukan sebanyak RM6.3 bilion bagi perbelanjaan pembangunan iaitu peningkatan sebanyak RM1.14 bilion berbanding RM5.16 bilion tahun lalu.

Kenaikan itu katanya dapat membantu mempercepatkan pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dirancang oleh kerajaan negeri.

“Ini menunjukkan kerajaan prihatin terhadap keperluan penduduk luar bandar yang mahukan pembaharuan terutama di Sabah dalam usaha kita menjayakan Pelan Pembangunan SMJ agar ianya bergerak pantas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri turut menyambut baik Bajet 2023 yang memperuntukkan RM16.5 bilion bagi sektor pengangkutan dan berharap daripada jumlah itu keutamaan diberikan kepada penyiapan projek Pan Borneo Sabah yang dijanjikan siap pada 2024.

“Kerajaan Negeri mengharapkan agar daripada jumlah peruntukan bagi sektor pengangkutan itu keutamaan perlu diberikan perhatian kepada penyiapan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah yang kemajuannya agak perlahan berbanding di Sarawak,” katanya

Menurut Bung Moktar, penyiapan Projek lebuh Raya Pan Borneo, pembinaan jalan raya menghubungkan Kalabakan ke Simanggaris di Indonesia dan RM250 juta peruntukan untuk membangunkan Pelabuhan Kontena di Teluk Sepanggar bukan sahaja meningkatkan kemudahan asas yang lebih baik kepada rakyat di negeri ini, malah menjadi pembangkin kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.

“Dengan pembukaan Kalimantan Timur sebagai ibu negara baharu Indonesia, perpindahan rakyat Indonesia dari kepulauan Jawa dijangka berlaku secara besar-besaran, maka tempias ekonomi akan turut melanda negeri ini khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut menyambut baik peruntukan sebanyak RM2.55 bilion untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak yang diharapkan dapat menyelasaikan masalah keperluan infsfrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, jambatan dan lain-lain yang masih diharapkan oleh rakyat di negeri ini.

Bung Moktar menambah bagi mempercepatkan lagi proses pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini, beliau sekali lagi mengulangi cadangannya sebelum ini agar peruntukan yang disediakan dapat disalurkan terus kepada kerajaan negeri untuk diselaraskan oleh jabatan atau agensi berkaitan.

Katanya, ini bagi memastikan segala peruntukan yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan lancar kerana kerajaan negeri lebih memahami demografi dan keperluan rakyat di negeri ini.

Dalam perkembangan yang sama Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah optimis kandungan Bajet 2023 dapat dilaksanakan sebaik mungkin jika rakyat memilih sebuah kerajaan yang stabil dan berpengalaman mengurus serta melaksanakanya.

“Saya yakin dan percaya setiap inisiatif dan bantuan yang diumumkan oleh kerajaan dalam belanjawan tahun hadapan sudah tersedia untuk direalisasikan, bagaimanapun rakyat perlu bersama menyokong kerajaan BN yang telah terbukti berupaya mentadbir dan mengurus ekonomi negara sebelum ini,” katanya.

Bung Moktar berkata rakyat pada bila-bila masa akan berhadapan dengan Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15), yang amat penting untuk rakyat menyokong BN tanpa terpengaruh dengan janji-janji pembangkang dalam manifesto mereka nanti.

Menurut Bung Moktar, rakyat sudah melalui pengalaman bersama pembangkang sebelum ini, bukan sahaja tidak melaksanakan segala janji dalam manifesto ketika PRU-14, malah keadaan politik tidak stabil turut menjejaskan keadaan ekonomi negara ketika pemerintahan mereka.

“Jika kita tersalah pilih dalam PRU-15 kali ini sudah tentu segala perancangan yang baik untuk kemajuan dan kemakmuran negara akan terjejas dan rakyat akan menerima kesannya,” katanya.

Bung Moktar menaruh harapan Bajet 2023 yang bertemakan Keluarga Malaysia Makmur Bersama akan mencapai Wawasan Kemakmuran Bersma 2030 (WKB2030) selaras dengan semangat Keluarga Malaysia demi mamastikan rakyat di negeri ini dapat menikmati pembangunan secara saksama.

“Kita berharap ianya berjalan lancar tanpa sebarang kerenah birokrasi bagi memastikan segala perancangan dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|