Persidangan UMNO bahagian tumpu persiapan PRU-15

Persidangan UMNO bahagian tumpu persiapan PRU-15

Kota Kinabalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mahu Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian UMNO di Sabah yang mengadakan mesyuarat masing-masing agar menumpukan soal persiapan menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, dalam tempoh yang semakin singkat menjelang PRU-15, persiapan berdepan dengan pilihan raya perlu diberikan keutamaan oleh seluruh cawangan selain sayap parti iaitu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

“PRU-15 kali ini kita membawa misi yang cukup penting untuk menang justeru pendekatan serta cara kita bekerja adalah untuk menang, persediaan logistik, strategi dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang sudah dibentuk perlu berada pada tahap kesiapsiagaan untuk menunggu semboyan PRU dibunyikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena persidangan UMNO bahagian-bahagian di Sabah yang sedang berlangsung ketika ini.

Menurut Bung Moktar, dalam mesyuarat kali ini tiada pemilihan jawatan dalam Persidangan Cawangan, Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan Perhimpunan Agung.

Justeru itu, katanya tumpuan adalah untuk membentuk satu kesatuan yang kukuh dan padu untuk menghadapi (PRU-15).

Bung Moktar berkata setiap bahagian seharusnya sudah melancarkan jentera masing-maisng kerana pilihan raya semakin hampir.

“PRU-15 semakin hampir, tak kira bila tarikhnya yang pasti semakin hampir, bukan semakin jauh,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO meminta pemimpin di semua peringkat bangkit menjadi benteng mempertahankan parti dan kepemimpinan daripada terus diserang pembangkang.

Katanya, peranan serta tanggungjawab itu perlu dipikul bersama bagi bolehkan ahli akar umbi UMNO tidak keliru dan terjebak dalam perangkap pembangkang yang menabur pelbagai fitnah serta tohmahan terhadap parti.

“Ketua cawangan dan akar umbi UMNO tidak boleh hanya mengharapkan pemimpin Pusat dan ketua bahagian memberi penjelasan, sebaliknya perlu proaktif memastikan maruah parti tidak terus dicemari.

“Kekuatan parti di akar umbi tidak boleh diambil mudah dan dikompromi, apa lagi jika ahli masih keliru dan hilang keyakinan terhadap parti,” katanya.

Menurut Bung Moktar lagi, dalam zaman kemajuan teknologi maklumat sekarang, terutamanya media sosial, pihak pembangkang memanafaatkan kemajuan itu untuk menabur fitnah dan propaganda terhadap pemimpin dan parti.

Dalam hubungan itu, katanya Pemuda dan Puteri UMNO juga perlu lebih agresif ‘bertempur’ dalam peperangan di media sosial.

“Jangan asyik mempromosi diri kita dengan program program yang diadakan dan asyik pertahan diri, kita perlu serang mereka kerana pembangkang lakukan banyak kesalahan tapi kita pula tidak ambil kesempatan menyerang membuatkan seolah-oleh mereka bersih,” katanya.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO bahagian Kinabatangan turut melahirkan harapan agar semua mesyuarat bahagian Wanita, Pemuda dan Puteri dapat dilaksanakan secara teratur dan penuh dengan semangat perpaduan bagi menjaga keutuhan parti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|