Kota Kinabalu: Keyakinan dan semangat ingin mengharumkan nama Sabah di peringkat lebih tinggi menjadi pembakar semangat kepada bakat seni anak muda tempatan di bawah kumpulan Pratama Legacy.
Berkat usaha dan dedikasi daripada 13 ahlinya dalam menyiapkan diri berentap di peringkat kebangsaan, akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan apabila dinobatkan sebagai johan dalam Festival Tari Malaysia 2022.
Hasil garapan dan juga susun atur gerak tari oleh koreografer, Achai Kiran telah membuatkan juri profesional memilih Pratama Legacy, yang mewakili negeri Sabah, sebagai juara untuk edisi tahun ini.
Pada masa yang sama, Achai turut menerima anugerah sebagai Koreografer Terbaik bagi kategori tarian etnik kreatif.
Terdahulu, kumpulan itu, telah dinobatkan sebagai johan Festival Tari Malaysia Peringkat Negeri Sabah yang diadakan pada 4 September lalu, sekaligus melayakkan mereka mewakili negeri ke Festival Tari Malaysia 2022 peringkat Kebangsaan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mesran Mohd Yusop berkata, kejayaan mereka merupakan bukti bahawa Sabah memiliki keunikan dan semangat cintakan warisan khazanah yang tinggi.
“Kumpulan ini telah banyak memenangi pertandingan sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
“Semoga pada tahun-tahun mendatang akan lebih banyak kumpulan-kumpulan dari negeri Sabah yang akan berentap di Festival Tari Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, penganjuran festival ini memberi ruang dan kemudahan kepada penggiat seni tari untuk berkarya, selain memberi peluang kepada koreografer dan penari mempelajari serta mempamerkan persembahan bermutu tinggi.
“Program ini antara lain bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang koreografi dan seni tari serta membantu dalam menyemarakkan seni dan budaya di Malaysia.
“Ia juga dapat memberikan kesedaran dan tanggungjawab untuk memelihara dan memperkembangkan budaya bangsa serta pembinaan keperibadian di kalangan masyarakat melalui seni tari,” katanya lagi.
Untuk rekod, Festival Tari Malaysia Peringkat Kebangsaan merupakan program anjuran JKKN bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang diadakan pada 17 dan 18 Disember di Istana Budaya.
Sebanyak lapan kumpulan telah terpilih dari seluruh Malaysia untuk berentap di peringkat akhir, di mana kumpulan Nyala Dance telah dinobatkan sebagai penyandang Naib Johan manakala Tempat Ketiga oleh kumpulan Akar Seni Malaysia.
-Deasoka