Tenom: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini diberitahu, saksi kes gangguan seksual membabitkan penceramah Ebit Lew ada melihat beberapa mesej dan gambar lucah melalui aplikasi Whatsapp dalam telefon bimbit milik pengadu yang identitinya tidak didedahkan.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung, 39, berkata, beliau melihat sendiri semua mesej dan gambar berkenaan apabila bertemu dengan pengadu dan suaminya selepas membuat laporan polis pada 7 Ogos tahun lalu.
“Antara pesanan adalah satu mesej suara dari Ebit Lew kepada ‘pengadu’ yang berbunyi ‘Tunjuk kaki sikit, tunjuk kaki sikit’.
“Terdapat juga pesanan bertulis menerusi Whatsapp yang berbunyi ‘minta husband you ceraikan you, I bayar you’,” katanya ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Dalam prosiding yang sama, Firdaus memberitahu mahkamah beliau turut melihat ada gambar kemaluan lelaki yang dihantar menerusi perbualan di antara pengadu dan Ebit Lew.
“Saya juga melihat gambar kemaluan lelaki di dalam perbualan antara pengadu dan Ebit Lew,” katanya yang juga Pengasas dan Presiden Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Multiracial Reverted Muslim (MRM).
Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, tiba di Mahkamah Majistret Tenom jam 9.50 pagi tadi bagi menghadiri perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan dirinya yang bersambung hari ini hingga lusa.
Pada 18 Februari lalu, Ebit didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di Tenom.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Ebit didakwa menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi Whatsapp, antara Mac dan Jun tahun lalu.
Ebit dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
-Deasoka