Papar: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh dari belakang dalam kejadian di Kilometer 13, Jalan Papar-Beaufort, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun yang terseret lebih 23 meter disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada kenderaan Perodua Bezza yang dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh mangsa.
Katanya, mangsa terseret sehingga ke laluan bertentangan manakala kereta Perodua Bezza pula terbalik di bahu jalan.

“Penunggang motosikal didapati tidak sedarkan diri di atas jalan manakala pemandu kereta pula tidak berada di lokasi kemalangan semasa ketibaan pihak polis.
“Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu Perodua Bezza yang gagal mengawal kenderaan dengan baik,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Kamaruddin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Pegawai Perubatan Hospital Papar yang turut hadir membantu di tempat kejadian
Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tujuan proses bedah siasat.
“Siasatan akan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
-Deasoka