PPM tingkatkan kesiapsiagaan operasi di perairan Sabah

PPM tingkatkan kesiapsiagaan operasi di perairan Sabah

Kota Kinabalu: Purata sekitar 30 hingga 32 bot ditugaskan setiap hari untuk menjaga perairan Sabah dalam usaha mengekang bukan saja pembolosan anasir yang tidak diingini tetapi juga penularan COVID-19.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, pihaknya sentiasa mempergiatkan rondaan di kawasan sempadan yang menjadi pintu masuk.

Datuk Zabidi menyampaikan sumbangan kepada anggota PPM ketika tugasan meninjau Op Gelora di perairan Kota Kinabalu.

Katanya, antara kawasan terbabit adalah sekitar perairan daerah Kota Kinabalu, Wilayah Persekutuan Labuan dan daerah-daerah sekitar pantai timur Sabah.

“Fokus kita adalah memastikan kawasan perairan Sabah sentiasa berada dalam keadaan selamat terutamanya peningkatan pergerakan sektor pelancongan.

“Tumpuan diberikan di kawasan perairan Kudat hingga ke Tawau iaitu kawasan yang berdekatan dengan sempadan negara jiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika tugasan meninjau Op Gelora PPM Wilayah Empat Sabah di perairan Kota Kinabalu, semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, Datuk Zabidi Md Zain yang mewakili Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Ahmad berkata, kekuatan pasukan juga sentiasa mencukupi di mana anggota dan pegawai diberikan arahan mengikut kepada penugasan diperlukan.

Sementara itu, Ahmad berkata, ketika ditanya mengenai pengoperasian PPM Sabah, Ahmad berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi lain dalam menguatkuasakan undang-undang.

Katanya, antara kes-kes yang diberi perhatian termasuk kegiatan penyeludupan barang kawalan dan bunga api, penculikan untuk wang tebusan (KFR), kegiatan bom ikan serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Oleh itu, semua bot-bot diarahkan supaya memberi perhatian khusus dalam usaha untuk mengekang kejadian jenayah di kawasan perairan Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|