ATB 2 gagalkan cubaan seludup rokok hampir setengah juta

ATB 2 gagalkan cubaan seludup rokok hampir setengah juta

Tawau: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup masuk 3,420 karton rokok seludup bernilai hampir setengah juta, kelmarin.

Rampasan menerusi operasi ‘Op Benteng Bersama’ dilakukan di Kampung Sri Aman, di sini, kira-kira jam 9 malam.

Pasukan MK ATB 2 menyerahkan semua rampasan rokok kepada polis untuk tindakan lanjut.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, sepasukan anggota Tim Quick Reaction Force (QRF) yang membuat tinjauan dan pengesanan terhadap dua van jenis Toyota Hiace yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan kampung berkenaan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati kedua-dua kenderaan yang sarat dengan muatan rokok tidak bercukai dipercayai baru ditinggalkan di kawasan berkenaan selepas menyedari kehadiran pasukan QRF.

Dua van digunakan untuk membawa rokok seludup dirampas.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua van yang ditemui sarat muatan rokok itu digunakan bagi tujuan membawa rokok seludup dari Indonesia ke Tawau.

“Kita juga percaya kegiatan ini turut membabitkan sindiket warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Lokasi kejayaan merampas rokok seludup bernilai hampir setengah juta di Tawau.

Abdul Karim berkata, semua rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati nilai rampasan bagi 3,420 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM410,200 dan nilai keseluruhan rampasan termasuk dua van berkenaan berjumlah RM626,200,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, kerjasama erat antara perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis berada ditahap yang terbaik dalam usaha menjamin keselamatan dan keamanan perairan pantai timur Sabah.

Katanya, kejayaan ini membuktikan sempadan perairan pantai timur Sabah sentiasa diawasi ketat pasukan keselamatan sekali gus membuktikan fungsi dan peranan pasukan keselamatan dalam menjamin keselamatan negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|