Bas ekspres naik tambang sempena Aidilfitri

Bas ekspres naik tambang sempena Aidilfitri

Kota Kinabalu: Tambang bas ekspres di Sabah dinaikkan 10 peratus bagi perjalanan sepanjang musim perayaan Aidilfitri bermula 29 April ini hingga 8 Mei depan.

Ia membabitkan kenaikan 1.3 sen kepada 14.3 sen sekilometer berbanding kadar biasa 13 sen sekilometer.

Kenaikan sementara itu diputuskan pada mesyuarat Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, semalam.

Pengerusinya, Datuk Chin Kim Hiung, berkata LPKP turut membenarkan syarikat bas ekspres untuk menambah bas bagi menampung permintaan penumpang.

“Mereka boleh memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS) Sempena Perayaan Aidilfitri 2022.

“Tarikh permohonan LPS akan dibuka bermula 11 hingga 22 April ini dan borang boleh didapati di Ibu Pejabat LPKP Sabah di Kota Kinabau, LPKP Sabah Cawangan Tawau dan LPKP Sabah Cawangan Sandakan manakala tempoh sah laku LPS yang diluluskan ialah dari 29 April 2022 hingga 8 Mei 2022.

“Saya percaya keputusan ini akan mendapat pelbagai maklum balas daripada pihak yang terkesan. Namun demikian saya percaya keputusan ini adalah keputusan menang-menang bagi memastikan kebajikan semua pihak terjaga selaras dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Berikutan peningkatan 10 peratus itu, tambang dari ibu negeri ke Semporna dinaikkan kepada RM80.80 seorang berbanding kadar biasa RM73.50 dengan, menjadikannya kadar tertinggi bagi perjalanan menghubungkan ibu negeri.

Ia diikuti tambang Kota Kinabalu – Tawau yang naik kepada RM79.40 berbanding kadar biasa RM72.20, manakala tambang Kota Kinabalu – Sandakan naik kepada RM47.90 berbanding kadar biasa RM43.60.

Destinasi selebihnya iaitu Kota Kinabalu – Lahad Datu (RM57.80), Kota Kinabalu – Kunak (RM67.50), Kota Kinabalu – Kudat (RM27.20), Kota Kinabalu – Tenom (RM24.70), Kota Kinabalu – Menumbok (RM22.20), Kota Kinabalu – Sipitang (RM20.60), Kota Kinabalu – Keningau (RM18.70) dan Kota Kinabalu – Beaufort (RM13.90).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|