Penumpang MH2664 minta pihak berwajib keluarkan laporan siasatan

Penumpang MH2664 minta pihak berwajib keluarkan laporan siasatan

Tawau: Penumpang pesawat Malaysia Airlines MH2664 dari Kuala Lumpur ke Tawau yang dikatakan mengalami masalah teknikal sebelum berpatah balik pada Ahad lalu membuat laporan polis mengenai insiden berkenaan, semalam.

Laporan dibuat tiga daripada penumpang pesawat berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi meminta pihak berwajib mengeluarkan laporan siasatan berhubung insiden yang berlaku.

Abdul Rahim (tengah) bersama Chui Ka Wai (kiri) dan Halimah ketika sidang media semalam.

Ketiga-tiga individu berkenaan iaitu Abdul Rahim Awang Nong, 48, Halimah Nasoha, 39, dan Chui Ka Wai, 48 menyangkal beberapa laporan media sebelum ini yang menyatakan cuaca ketika itu kurang baik.

Abdul Rahim berkata, sehingga kini belum ada pihak yang mengeluarkan sebarang kenyataan bagi memberi penjelasan terperinci berhubung kejadian itu.

“Sebelum kejadian, keadaan cuaca sangat baik dan juruterbang turut mematikan isyarat tali pinggang menunjukkan segalanya berjalan lancar.

“Bagaimanapun, sekitar jam 3 petang, pesawat itu tiba-tiba menjunam seolah-olah jatuh beberapa kali,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Pesawat terbabit, katanya menjunam hampir 40 darjah menyebabkan penumpang menjerit ketakutan.

“Juruterbang dan kakitangan pesawat juga tidak memaklumkan kepada kami apa yang berlaku kecuali berkaitan pesawat berpatah balik ke Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Halimah yang masih trauma dengan insiden berkenaan menyangka hayatnya akan berakhir akibat kejadian itu.

“Badan saya masih sakit sehingga sekarang akibat terlambung kerana ketika itu saya membuka tali pinggang keselamatan.

“Sehingga kini saya dan beberapa penumpang lain masih trauma dengan kejadian itu. Selain itu, perkongsian yang saya muat naik di laman sosial juga dimanipulasi beberapa media sehingga mengundang kecaman ramai pihak,” katanya.

Beliau mendakwa sehingga kini dia tidak dihubungi pihak berkaitan, termasuk syarikat penerbangan berhubung kejadian itu.

“Seharusnya pihak berwajib, termasuk kementerian berkaitan campur tangan dalam isu ini dan melakukan siasatan terperinci dengan segera kerana ia membabitkan keselamatan awam.

“Seharusnya syarikat penerbangan dan kerajaan lebih bertanggungjawab kerana ia membabitkan tekanan emosi serta trauma kepada kami,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada ketiga-tiga individu berkenaan.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai sebuah pesawat dari Kuala Lumpur ke Tawau dikatakan terjunam beberapa kali sebelum berpatah balik ke Kuala Lumpur.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan media berhubung insiden itu menjelaskan pesawat berkenaan mengalami masalah teknikal menyebabkannya terpaksa berpatah balik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|