Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua bot disyaki digunakan untuk aktiviti bom ikan di perairan Kota Belud, di sini, semalam.
Dalam operasi itu, PPM Kota Kinabalu turut merampas beberapa kilogram ikan dan pelbagai jenis peralatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan.
Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 4 Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan berkenaan.
Katanya, susulan itu, sepasukan PPM Kota Kinabalu digerakan ke lokasi dan menahan dua bot serta merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengeboman ikan.
“Semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut oleh Jabatan Perikanan.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM74,525,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen Akta Perikanan 1985.
Sehubungan itu, Roslan berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.
“Maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai polis berdekatan bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal,” katanya.
-Deasoka