Kota Kinabalu: Seorang lelaki disyaki cuba membunuh diri berjaya diselamatkan pasukan keselamatan dalam kejadian di sebuah rumah di Sepanggar, di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada ahli keluarganya yang memaklumkan lelaki itu tidak membuka pintu rumah dan mengugut untuk membunuh diri, jam 11.56 malam.
Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, tindakan pasukan bomba membantu anggota polis untuk membuka pintu pagar dan pintu hadapan rumah.
“Lelaki berusia 38 tahun itu ditemui terbaring di ruang tamu rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, lelaki itu seterusnya mendapat rawatan oleh pihak ambulans di tempat kejadian.
“Dia kembali sedar sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi seterusnya ditamatkan pada 1.02 pagi tadi,” katanya.
-Deasoka