Tokan syabu ditahan ketika tunggu pelanggan

Beaufort: Cubaan seorang lelaki disyaki tokan dadah melarikan diri daripada polis ketika serbuan di perkarangan sebuah rumah di Kampung Limbawang, gagal apabila ditahan bersama sejumlah dadah jenis syabu, semalam.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, suspek berusia 39 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, dipercayai ketika sedang menunggu pelanggan untuk menjual dadah.

Suspek tokan syabu ditahan polis ketika sedang menunggu pelanggan di perkarangan sebuah rumah di Kampung Limbawang, Beaufort. Pix Ihsan IPD Beaufort

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, serbuan dilakukan pihaknya susulan maklumat dan risikan mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, ketika serbuan, suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri namun gagal sebelum dia ditahan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob

“Pemeriksaan menemui satu plastik warna hitam dari dalam jaket dipakai suspek yang berisi 16 peket plastik lutsinar pelbagai saiz dan dua keratan penyedut minuman atau straw mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Anggaran berat dadah syabu yang dirampas iaitu 6.25 gram bernilai kira-kira RM700,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Peket berisi dadah jenis syabu yang dirampas daripada suspek. Pix Ihsan IPD Beaufort

Yusoff Zaki berkata, suspek serta barang rampasan dibawa balik ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek mengaku mendapat bekalan dadah syabu untuk diedar daripada seorang individu di daerah ini dan polis sedang mengesannya.

“Suspek juga mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah syabu.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|