Rina beri penjelasan punca keluar WARISAN

Rina beri penjelasan punca keluar WARISAN

Kota Kinabalu: Selepas seminggu keluar daripada Parti Warisan (WARISAN), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal tampil menjelaskan situasi yang memaksanya ‘berhijrah’ ke Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Dalam satu kenyataan malam tadi, beliau berkata, walaupun sering bertemu dengan penduduk di kawasannya namun banyak keperluan rakyat tidak dapat dipenuhi kerana pelbagai kekangan.

“Sebagai ADUN yang baru setahun jagung dan terus berada di blok pembangkang, pastinya bukan laluan mudah untuk saya. Namun, ia bukan juga menjadi masalah besar yang perlu dirunsingkan kerana penglibatan saya dalam kancah politik juga bermula sebagai pembangkang.

“Bagaimanapun, daripada sehari ke sehari, saya menyedari tanggungjawab ke atas rakyat tetap perlu menjadi keutamaan tidak kira apa juga status sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

“Biarpun saya sering turun padang, berjumpa penduduk di Kukusan malah sehingga ke Pulau Sebatik, Merotai, Kalabakan dan sebagainya, ia tetap terasa kosong apabila banyak keperluan rakyat khususnya, sukar dipenuhi akibat kekangan yang ada,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai permohonan bantuan, pembinaan infrastruktur dan banyak lagi tidak dapat dilakukan walaupun sudah hampir dua tahun mendapat mandat sebagai wakil rakyat.

“Puas diusahakan termasuk permohonan di agensi kerajaan dan kenalan, tetap ada juga yang terpaksa ‘diabaikan’ kerana kekangan yang ada,” katanya.

Jelas beliau lagi, keputusan keluar daripada WARISAN bukan dibuat dalam waktu yang singkat, sebaliknya banyak pertimbangan dilakukan dengan mendengar pendapat daripada pelbagai pihak.

“Selepas puas membuat pertimbangan, saya menetapkan bahawa perkhidmatan kepada rakyat perlu diutamakan. Malah, presiden WARISAN sendiri pernah berkata, rakan sekutu terbaik bagi ahli politik atau parti adalah rakyat.

“Justeru, saya memilih untuk mengutamakan rakyat. Jika ada yang membuat tuduhan liar kononnya saya dibeli, dibayar atau diberikan imbuhan, itu pandangan mereka, saya tidak boleh menutup mulut semua orang.

“Jika mahukan imbuhan sudah lama saya keluar WARISAN dan menerima pelawaan dari parti-parti besar sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi memaklumkan bahawa keutamaannya kini adalah memberi perkhidmatan kepada rakyat tempatan khususnya dalam memperjuangkan hak rakyat Sabah sama ada termaktub atau tidak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya berharap rakyat khususnya penduduk di mukim Kukusan memberi peluang dan ruang kepada saya membuktikan keputusan bersama Harapan Rakyat adalah langkah betul dalam membela nasib anda,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|