PPM rampas minuman keras bernilai lebih RM500,000

Kota Kinabalu: Cubaan tiga lelaki menyeludup keluar minuman keras dari Pulau Labuan gagal selepas berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM), dalam operasi di kawasan anak sungai Menumbok, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 11 malam itu, semua minuman keras pelbagai jenama yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM556,665.

Minuman keras yang cuba diseludup dari Labuan berjaya dikesan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, bertindak atas maklumat, pasukan operasi melakukan serbuan dan pemeriksaan terhadap sebuah bot laju yang dilengkapi tiga enjin dan sebuah kenderaan.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya berjaya menahan tiga lelaki dewasa berusia lingkungan 28 hingga 31 tahun.

Lori dan bot bawa muatan minuman keras dirampas.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bot laju dan kenderaan berkenaan membawa kepada penemuan beberapa karton pelbagai jenis minuman keras.

“Semua minuman berkenaan didapati sedang dipunggah dari bot laju masuk ke kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua individu yang ditahan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Menumbok untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, Roslan berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|