PPM rampas kosmetik seludup

PPM rampas kosmetik seludup

Tawau: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas pelbagai barangan kosmetik yang cuba diseludup masuk ke daerah ini tanpa kelulusan pihak berkuasa, semalam.

Dalam operasi yang dijalankan di perairan laut Aji Kuning, Pulau Sebatik, di sini, berkenaan, semua barangan dirampas dianggarkan bernilai RM13,224.

Pegawai Pemerintah PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, cubaan menyeludup masuk barangan itu dikesan Botronda PPM Tawau yang sedang menjalankan operasi ‘Op Gelora’ di kawasan perairan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap bot jongkong berkenaan, pasukan operasi menemui pelbagai barangan kosmetik tanpa kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semua barang rampasan terus dirampas dan dibawa ke Pangkalan Polis Marin Tawau untuk siasatan mengikut Seksyen 18A (1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Barang kosmetik berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Farmasi Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

“Maklumat juga boleh disalurkan secara terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|