PPM rampas 2,400 liter petrol

PPM rampas 2,400 liter petrol

Kudat: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 2,400 liter minyak petrol yang dipercayai cuba diseludup keluar dalam operasi Op Landai, di kawasan Laut Mapan-Mapan, Pitas, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, semua minyak petrol yang disimpan di dalam 12 tong biru berkenaan dipercayai cuba diseludup keluar.

Difahamkan, dua individu lelaki berusia 24 dan 53 tahun yang dikesan membawa bekalan minyak berkenaan turut berjaya ditahan.

Menurut sumber, ketika cuba ditahan, kedua-dua suspek yang menaiki bot pam berkenaan cuba melarikan diri ke kawasan cetek.

Bagaimanapun katanya, pasukan operasi berjaya memintas sebelum melakukan pemeriksaan lanjut dan menemui bekalan minyak petrol berkenaan.

“Kedua-dua individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) berkaitan pemilikan barang berkenaan.

“Mereka terus ditahan selepas dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dalam keadaaan yang menimbulkan syak munasabah,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek dan rampasan membabitkan bot pam dan enjin serta 12 tong dram berisi minyak petrol terus dibawa ke pangkalan PPM Kudat.

Katanya, rampasan minyak petrol berkenaan kemudiannya diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan selanjutnya

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|