PH Sabah kemuka usul jadikan BI bahasa rasmi kedua, desak tubuhkan semula IGC

PH Sabah kemuka usul jadikan BI bahasa rasmi kedua, desak tubuhkan semula IGC

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini mengemukakan usul menjadikan Bahasa Inggeris (BI) sebagai bahasa rasmi kedua Sabah dan mendesak penubuhan semula Inter-Government Committee (IGC) Perjanjian Malaysia pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung pada 18 hingga 21 Julai ini.

Menurut kenyataan bersama ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick dan ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe, dua usul itu telah dikemukakan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Usul pertama ialah bagi DUN Sabah membuat ketetapan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di Sabah.

“Kami percaya usul ini penting bukan hanya kerana berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Inter-Governmental Committee (IGC) 1962, tetapi agar menjadikan rakyat Sabah boleh bersaing dengan lebih progresif melalui penguasaan Bahasa Inggeris,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu turut berkata, usul kedua adalah bagi mendesak penubuhan semula IGC untuk mengkaji pelaksanaan Perjanjian Malaysia seperti yang sepatutnya, iaitu bagi setiap 10 tahun dan mendesak pelaksanaan-pelaksanaan hak-hak dan kepentingan-kepentingan Sabah seperti yang dinyatakan dalam Laporan IGC 1962 dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kami percaya ketetapan ini perlu dibuat oleh DUN bagi mempertahankan hak-hak dan kepentingan-kepentingan Sabah sepertimana dinyatakan dalam MA63.

“Perkara ini juga merupakan isu utama rakyat Sabah susulan pelbagai pandangan mengenai isu-isu terkait MA63 termasuk adanya syor mahu mengadakan Perjanjian Malaysia yang baharu.

“Kami berpendirian tegas bahawa tiada keperluan untuk mengadakan Perjanjian Malaysia yang baharu, sebaliknya MA63 tersebut perlu dilaksanakan dan hak-hak Sabah perlu ditunaikan.

“Selaku wakil rakyat yang dipilih juga, kami tidak teragak-agak mewakili rakyat mengambil tindakan undang-undang seterusnya berkaitan dengan hak-hak Sabah dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan seperti tindakan kami memfailkan saman pemula berkaitan Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, iaitu untuk menuntut pelaksanaan pembayaran semula 40 peratus hasil persekutuan di Sabah,” katanya.

Selain itu, mereka juga berharap agar kerajaan negeri dapat membentangkan program penyelesaian bagi menangani kesan kenaikan harga barang yang membebankan rakyat pada sidang DUN tersebut.

“Sehingga hari ini, kita belum mendengar sebarang program khusus daripada kerajaan negeri bagaimana membantu rakyat Sabah yang terkesan dengan kenaikan harga barang,” katanya.

Adun PH Sabah itu turut menyatakan bahawa, kerajaan negeri perlu memberi penjelasan mengapa harga barangan termasuk makanan, bahan binaan dan bahan pertanian naik mendadak.

Mereka turut mempersoalkan bekalan barangan keperluan harian seperti minyak masak sukar diperolehi di kedai walaupun Sabah mengeluarkan bahan makanan itu.

“Mengapa harga sayur di ladang tidak dapat dinaikkan sedangkan kos bahan pertanian telah meningkat dengan mendadak? Ini antara persoalan-persoalan rakyat yang perlu dijelaskan oleh kerajaan,” katanya.

Ewon dan Jin Zhe berkata sebelum ini, mereka telah mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Ekonomi Sabah mencakupi keanggotaan pelbagai blok parti di DUN serta sektor awam, korporat dan badan bukan kerajaan, namun kerajaan negeri tidak melaksanakan cadangan itu.

“Justeru, selaku wakil rakyat yang dipilih, kami akan menggunakan platform sidang DUN bagi menyampaikan keluhan-keluhan rakyat, pandangan dan cadangan agar cabaran dan tekanan yang dihadapi oleh rakyat dapat ditangani bersama.

“Kami berharap agar kerajaan dapat melanjutkan sidang DUn sekurang-kurangnya sehari sepenuh khas bagi merumus penyelesaian dan bantuan rakyat yang terkesan akibat kenaikan mendadak harga barang,” kata kenyataan itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|