PPM gagalkan tiga cubaan seludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran

PPM gagalkan tiga cubaan seludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran

Sandakan: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sandakan berjaya menggagalkan tiga cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi ke negara jiran dengan menahan empat lelaki warga Filipina.

Tangkapan dan rampasan dijalankan oleh bot ronda PPM di utara perairan Nunuyan dan kawasan setinggan di tepi Sungai Mangkalinau, di sini, menerusi Op Gelora, kira-kira 12 tengah malam semalam.

Bot yang digunakan suspek untuk menyeludup keluar minyak masak bersubsidi ke negara jiran.

Kes pertama dan kedua masing-masing membabitkan penahanan bot yang berjaya dipintas oleh bot ronda PPM di utara Perairan Nunuyan.

Hasil daripada pemeriksaan bot pertama, pasukan operasi berjaya menahan dua lelaki warga Filipina yang bertindak sebagai juragan dan pembantu juragan.

Turut dirampas dalam kes itu sebanyak 10 kotak minyak masak bersubsidi yang semua sebanyak 170 paket (1 kg).

Bagi kes ke dua pula PPM berjaya menahan satu suspek lelaki warga Filipina dan merampas 10 kotak minyak masak bersubsidi yang semua sebanyak 170 paket (1 kg).

Hasil tangkapan pertama dan kedua membawa kepada serbuan ke sebuah rumah di kawasan setinggan di tepi Sungai Mangkalinau yang dipercayai menjadi transit minyak masak bersubsidi sebelum dipunggah ke bot untuk diseludup keluar ke negara jiran.

Hasil pemeriksaan rumah berkenaan membawa penahanan seorang lelaki warga Filipina dan rampasan sebanyak 17 kotak minyak masak bersubsidi yang semuanya berjumlah 289 paket ( 1kg).

Jumlah keseluruhan minyak masak bersubsidi yang berjaya dirampas hasil dari ketiga-tiga serbuan ini adalah sebanyak 629 paket.

Manakala jumlah keseluruhan nilai rampasan bot dan minyak masak pula dianggarkan sebanyak RM42,689.30.

Semua empat suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Sandakan untuk siasatan lanjut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|