Dua kilang ais blok dikompaun maksimum

Dua kilang ais blok dikompaun maksimum

Sandakan: Dua kilang ais blok di Bandar BDC, di sini dikenakan kompaun maksimum selepas didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Pegawai KKM Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, kilang pertama dikenakan kompaun sebanyak RM3,500 manakala kilang kedua yang diperiksa pula dikompaun RM6,000.

Petugas kesihatan membuat serbuan di dua kilang ais di Sandakan.

Katanya, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pengilang ais blok mematuhi peraturan KKM.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kilang tidak mematuhi peraturan ditetapkan iaitu sebahagian pekerja tidak memiliki kad kesihatan selain tidak memiliki lesen mengeluarkan ais blok daripada KKM.

“Kedua-dua kilang dikenakan kompaun mengikut Akta Peraturan Makanan 1985 selepas dikesan melakukan kesalahan pekerja tidak memiliki kad kesihatan.

“Bagaimanapun, kilang kedua turut melakukan kesalahan mengikut Akta Peraturan Kebersihan Makanan 2009, oleh itu kita mengenakan kompaun maksimum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi di kedua-dua kilang ais blok, di sini, hari ini.

Johari berkata, setiap tahun kedua-dua kilang berkenaan sering dikompaun tetapi masih tidak mengambil serius teguran dan nasihat pihaknya.

Bagaimanapun katanya, untuk kali ini pihaknya bertindak mengenakan kompaun maksimum dan dalam masa sama memastikan mereka mendapatkan lesen serta mendaftar program jaminan keselamatan makanan.

“Kita terpaksa mengambil tindakan berkenaan demi memastikan bahan berkaitan makanan yang akan dikeluarkan kepada masyarakat di daerah berkenaan terjamin dan selamat.

“Justeru itu, pihaknya menasihatkan pemilik-pemilik kilang ais di daerah sandakan agar cakna serta mengambil perhatian serius terhadap isu terbabit,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|