PPM gagalkan cubaan seludup minuman keras

PPM gagalkan cubaan seludup minuman keras

Labuan: Pemantauan berterusan Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan satu lagi cubaan menyeludup minuman keras di kawasan laut Mempakul, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian awal pagi itu, bot yang membawa minuman keras berkenaan dikesan pasukan operasi yang sedang menjalankan rondaan di perairan berkenaan.

Bot yang dilengkap dua enjin berkenaan digunakan untuk menyeludup minuman keras dari Labuan ke Tanah Besar Sabah.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM WP Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, sebaik dikesan, pasukan operasi terus mengarahkan bot berkenaan berhenti untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun katanya, suspek yang mengendalikan bot berkenaan terus bertindak memecut laju ke kawasan yang cetek di pesisir pantai Mempakul.

“Suspek kemudiannya terus melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran dan cubaan menangkapnya tidak berjaya selepas gagal dikesan.

“Pemeriksaan terhadap bot berkenaan mendapati membawa muatan minuman keras yang dipercayai belum bercukai,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Saidul Maruf berkata, ia dipercayai diseludup dari Wilayah Persekutuan Labuan untuk pasaran gelap di Tanah Besar Sabah.

“Semua minuman keras bersama bot yang dilengkapi dua enjin bot berkenaan terus dirampas dan dibawa balik untuk tindakan selanjutnya.

“Nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM36,605.63 berdasarkan harga pasaran semasa dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Sehubungan itu, Saidul Maruf berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|