Penyeludup rokok rempuh kenderaan PGA elak ditahan

Penyeludup rokok rempuh kenderaan PGA elak ditahan

Lahad Datu: Bukan sahaja membawa rokok tanpa cukai malah seorang penyeludup bertindak agresif apabila merempuh kenderaan anggota Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Bagaimanapun kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Rocco digunakan suspek berjaya ditemui bersama pelbagai rokok seludup dianggarkan bernilai RM110,208 namun pemandu kenderaan itu berjaya meloloskan diri.

Rokok dan kenderaan dirampas untuk siasatan lanjut.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, ketika menjalankan Op Kontraban jam 7.30 pagi semalam itu, anggota dari task force Batalion 17 PGA mengekori sebuah kenderaan Toyota Hilux Rocco dalam keadaan mencurigakan dari Kampung Betik ke Kampung Jawa.

Katanya, anggota kemudian menggunakan siren polis untuk mengarahkan pemandu itu untuk berhenti namun lelaki terbabit bertindak agresif dengan merempuh di sebelah kiri kenderaan pasukan hingga kemek dan terus menuju ke arah Kampung Kenangan, dengan memandu secara merbahaya.

Rokok seludup disembunyikan di bawah pelepah kelapa sawit oleh suspek.

“Kenderaan yang dipandu suspek kemudian berhenti secara mengejut hingga menyebabkan kenderaan pasukan PGA terlanggar bahagian belakang kenderaan suspek dan mengalami kerosakan serta tidak dapat dihidupkan semula.

“Lalu kenderaan suspek dilihat menghala ke ladang kelapa sawit berdekatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, hasil pemeriksaan lanjut bersama-sama anggota task force yang lain di sekitar ladang sawit berhampiran menemui kenderaan suspek yang diletakkan di bawah pokok kelapa sawit.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu tidak menemui sesiapa dipercayai suspek telah melarikan diri. Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan itu menemui beberapa bungkusan plastik hitam berisi rokok seludup pelbagai jenama tanpa cukai.

“Semua rokok itu disembunyikan dibahagian belakang kenderaan dan di bawah pelepah kelapa sawit berhampiran kenderaan suspek,” katanya.

Beliau berkata, rokok yang dirampas bernilai RM110,208 dan keseluruhan rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM230,208.

“Semua rampasan kemudian di bawah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|