Kerjasama EJazmine, MDEC bantu usahawan Sabah teroka pasaran Brunei

Kerjasama EJazmine, MDEC bantu usahawan Sabah teroka pasaran Brunei

Kota Kinabalu: Syarikat penyedia e-dagang, EJazmine bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membawa lebih 20 usahawan dari Sabah meneroka pasaran Brunei melalui Program Jualan Jelajah Ramadan Brunei bermula akhir bulan ini.

Program yang dijalankan secara dalam talian itu membolehkan usahawan memperkenalkan produk mereka melalui platform EJazmine dan pesanan dihantar dari pintu ke pintu dengan kerjasama pelbagai syarikat kurier.

Mohd Rizal di booth MDEC sempena Expo Keusahawan Wanita Antarabangsa Sabah yang diadakan di SICC, Kota Kinabalu.

Pengerusi Eksekutif Euro Jasmine Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Mohd Rizal Mohd Yusuf berkata, kerjasama dengan MDEC terjalin sejak enam bulan lalu melalui program jualan Nusantara ke Indonesia dan kini diperluaskan ke Sabah dan Sarawak sebelum menjelajah ke Brunei bermula 31 Mac ini hingga 5 Mei depan.

Katanya, peluasan jualan ke Brunei bertujuan membawa usahawan kecil atau sederhana dari Malaysia yang menjual secara tempatan untuk memasarkan produk masing-masing ke luar negara melalui platform EJazmine.

“Kita memilih Sabah dan Sarawak kerana dua negeri ini adalah yang paling dekat dengan Brunei seperti melalui darat dari Lawas, Sarawak terus masuk ke Sabah.

“Selain itu, selepas era pandemik, seperti yang kita tahu pintu sempadan akan dibuka bermula 1 April depan dan kami rasakan ini adalah masa yang tepat untuk kita laksanakan jualan ditambah pula menjelang Ramadan dan Aidilfitri sepanjang tempoh jualan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Expo Keusahawan Wanita Antarabangsa Sabah (SIWE 2022) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Katanya, usahawan yang berdaftar di bawah platform mereka akan diberi latihan untuk meningkatkan jualan terutama bagi pasaran eksport ke luar negara.

“Setakat hari ini, kita sudah mulai mendapat penyertaan yang bagus dari Sabah dan kita ada lebih 20 usahawan yang ingin menyertai program ini yang mana pelbagai jenis produk boleh dipasarkan termasuk makanan, produk tenunan, kraftangan, barangan elektrik dan pelbagai lagi.

“Jika mereka adalah usahawan kecil-kecilan dan belum memenuhi standard bagi memasarkan produk untuk eksport, kita akan bantu mereka dengan memberi latihan dan meningkatkan jualan termasuk mengajar mereka cara pembungkusan, kita ajar mereka bagaimana nak dapatkan sijil halal dan pelbagai lagi, asalkan mereka benar-benar mahu belajar,” katanya.

Mohd Rizal berkata, bagi usahawan lain yang ingin mendaftar boleh melakukannya melalui laman sesawang www.ejazmine.com secara percuma.

“Mereka hanya perlu masukkan alamat e-mel dan nombor telefon untuk pendaftaran dan kita akan hubungi mereka semula bagi membantu memasukkan gambar produk dan harga untuk jualan secara dalam talian.

“Pendaftaran adalah percuma dan kita juga tidak mengenakan bayaran yuran tahunan, kita cuma kenakan bayaran apabila barang atau produk terjual,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Rizal menyeru usahawan di negeri ini supaya mengambil peluang untuk meningkatkan jualan produk masing-masing sehingga ke peringkat antarabangsa melalui platform EJazmine.

“Semua ini adalah hasil kerjasama EJazmine dan MDEC kerana MDEC melihat ini sebagai satu loncatan untuk kita dorong semua usahawan kita ke depan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|