Percaya ubat kampung antara punca kematian akibat Covid-19 meningkat

Percaya ubat kampung antara punca kematian akibat Covid-19 meningkat

Kota Kinabalu: Terlalu percaya kepada ‘ubat kampung’ termasuk akar-akar kayu dipercayai antara punca kes kematian akibat Covid-19 terutama yang membabitkan warga emas di Sabah meningkat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kebanyakan kes membabitkan warga emas yang belum menerima vaksin dan dibawa ke hospital ketika keadaan sudah teruk.

“Menurut statistik, separuh daripada kes kematian berlaku di luar fasiliti kesihatan (BID) kerana mereka tidak mendapatkan rawatan dan apabila sudah tenat baru dibawa ke hospital, malah ada antara mereka tidak tahu dijangkiti Covid-19.

“Mungkin mereka terlampau percaya ubat kampung, sekarang banyak pakar akar kayu dijadikan ubat dan apabila sudah berada di tahap yang serius baru mahu pergi ke hospital, jadi ini trend di Sabah kenapa ramai meninggal dunia (warga emas),” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Masidi yang juga jurucakap harian perkembangan Covid-19 Sabah, menyimpulkan kes kematian akibat Covid-19 membabitkan warga emas kebanyakannya disebabkan lewat dibawa ke hospital dan tidak tahu dijangkiti virus berkenaan.

“Kalau kita boleh simpulkan, yang pertama, pesakit dibawa ke hospital agak lewat. Kedua, pesakit yang dibawa ke hospital tidak diketahui bahawa sudah dijangkiti Covid-19.

“Ketiga, tidak dihantar ke hospital sama sekali kerana prosedur kematian perlu memaklumkan pihak hospital maka, di situlah keluarga mereka tahu bahawa pesakit dijangkiti Covid-19 dan satu lagi sebab ialah mempunyai komorbiditi atau penyakit lain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|